Realiti Kuasa Politik di Thailand, Malaysia dan ASEAN

 





Di Asia Tenggara, khususnya di Thailand, Malaysia dan banyak negara ASEAN, politik lama masih berakar kuat dalam struktur kuasa yang dikuasai oleh orang kaya, jutawan dan bilionair. 


Mereka bukan sekadar penyumbang dana politik, tetapi sering menjadi penentu arah kuasa itu sendiri. Negara dijadikan instrumen, undang-undang dijadikan pelindung, manakala rakyat diletakkan sekadar sebagai angka dalam pilihan raya yang berulang-ulang tanpa perubahan struktur sebenar.


Di Thailand, kita menyaksikan bagaimana kuasa politik berputar antara elit ekonomi, oligarki perniagaan dan jaringan kuasa lama. Pilihan raya diadakan, kerajaan silih berganti, tetapi struktur dominasi kekayaan kekal. Parti politik boleh berubah nama dan wajah, namun sokongan modal besar di belakang tabir sering datang daripada kelompok yang sama. Demokrasi akhirnya bergerak dalam lingkungan sempit yang dibenarkan oleh kepentingan ekonomi elit.


Di Malaysia pula, sejarah panjang hubungan rapat antara politik dan kekayaan telah melahirkan budaya kronisme dan patronaj. Politik sering diwarisi seperti harta pusaka daripada keluarga kepada keluarga, daripada parti kepada rangkaian perniagaan tertentu. Golongan kaya dan jutawan bukan sahaja membiayai kempen, tetapi turut mempengaruhi dasar, kontrak, konsesi dan keutamaan negara. 


Rakyat dijanjikan pembangunan, tetapi hasil sebenar sering terkumpul di tangan segelintir.


Fenomena ini bukan terhad kepada dua negara tersebut. Di peringkat ASEAN, kita berhadapan dengan pola yang hampir sama di mans pertumbuhan ekonomi yang kelihatan mengagumkan, tetapi jurang kekayaan semakin melebar. 


Demokrasi prosedural wujud dengan pilihan raya, parlimen, perlembagaan, namun kuasa sebenar sering condong ke arah mereka yang menguasai modal, tanah, media dan rangkaian ekonomi rentas sempadan.


Golongan orang kaya, jutawan dan bilionair dalam politik jarang menang melalui kekuatan idea atau visi jangka panjang untuk rakyat. Mereka menang melalui rangkaian, dana, pengaruh institusi dan kawalan naratif. Mereka tidak membina harapan kolektif, tetapi mencipta kebergantungan seperti subsidi bersyarat, bantuan bermusim, projek terpilih agar rakyat terus terikat dengan struktur sedia ada.


Apabila berlaku pendedahan salah guna kuasa, alasan “kestabilan negara”, “keselamatan”, atau “pelaburan asing” sering dijadikan perisai. Kritikan dilabel sebagai ancaman kepada ekonomi atau perpaduan. Suara rakyat yang menuntut reformasi sering dituduh mencetuskan ketidaktenteraman. 


Namun, ketidaktenteraman sebenar ialah ketidakseimbangan kuasa dan kekayaan yang telah berlarutan puluhan tahun.


Di Thailand, rakyat kelas menengah dan bawah terus bergelut dengan isu gaji rendah, kos sara hidup, ketirisan dana awam, hutang isi rumah dan peluang terhad, sementara kekayaan tertumpu pada kelompok kecil di pusat kuasa ekonomi. 


Di Malaysia pun berhadap dengan masalah hampir sama walaupun politik lebih stabil.


Di banyak negara ASEAN, migrasi buruh besar-besaran menjadi bukti bahawa pertumbuhan ekonomi tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat kebanyakan.


Persoalan penting yang perlu ditanya oleh rakyat ASEAN hari ini ialah: adakah kemiskinan dan ketidaksamaan ini suatu kebetulan, atau hasil sistem politik yang membenarkan kekayaan dan kuasa berlegar dalam bulatan tertutup? Apabila politik dikuasai oleh orang kaya, jutawan dan bilionair, dasar awam cenderung melindungi kepentingan mereka terlebih dahulu, manakala kepentingan rakyat disesuaikan sekadar cukup untuk meredakan kemarahan.


Kita juga harus sedar bahawa golongan elit ekonomi-politik ini tidak takut kepada kebenaran semata-mata, tetapi takut kepada rakyat yang celik politik dan berani bersuara. Mereka tidak takut pilihan raya, tetapi takut perubahan kesedaran. Selagi rakyat percaya bahawa “tiada pilihan lain”, selagi itulah sistem ini kekal utuh.


Negara-negara ASEAN sebenarnya tidak kekurangan bakat, kepakaran atau sumber. Yang kurang ialah peluang yang adil dan sistem yang telus. Bukan kekurangan bajet, tetapi kekurangan integriti dalam pengurusan. Dana awam sering bocor, projek mega sering menguntungkan kontraktor terpilih, manakala rakyat hanya menerima sisa.


Rakyat juga sering diajar untuk takut kepada perubahan, kononnya perubahan akan membawa ketidakstabilan. Hakikatnya, ketidakadilan yang berpanjangan itulah ancaman sebenar kepada kestabilan serantau. Demokrasi yang dikawal oleh kekayaan tidak akan mampu menjamin keamanan sosial jangka panjang.


Sudah tiba masanya rakyat Thailand, Malaysia dan seluruh ASEAN menilai semula makna demokrasi. Demokrasi bukan sekadar memilih pemimpin setiap beberapa tahun, tetapi memastikan kuasa benar-benar berpihak kepada rakyat, bukan tertumpu kepada segelintir elit berduit.


Jika politik lama terus dipilih, negara lama akan terus diwarisi. Jika rakyat terus tunduk kepada penguasaan orang kaya, jutawan dan bilionair dalam politik, maka masa depan generasi akan terus digadaikan. Namun jika rakyat berani menuntut perubahan struktur, menolak politik wang dan patronaj, serta membina kesedaran serantau yang lebih matang, maka demokrasi boleh dikembalikan kepada pemilik asalnya—rakyat.


Kuasa sebenar bukan pada kekayaan, bukan pada pengaruh elit, tetapi pada rakyat yang sedar, berani dan bersatu. Masa depan ASEAN tidak ditentukan oleh bilionair di belakang tabir, tetapi oleh rakyat yang memilih untuk tidak lagi menjadi penonton dalam politik negaranya sendiri.


Ulasan