Biodata peribadi













3.2.1 PERIBADI ASTORA JABAT





Nama sebenar Astora Jabat berdasarkan kad pengenalan beliau ialah Asae Toramae. Astora ialah nama pena beliau dan ia merupakan singkatan daripada Asae Toramae. Kebetulan pula beliau belajar di pondok agama di Jabat, Narathiwat dan Yala. Jabat ialah sebuah kawasan yang menjadi tempat kelahiran beliau dan juga sebagai tempat pendidikan beliau. Terdapat pondok yang menjadi tempat pengajian awal beliau. Justeru, lahirlah nama pena Astora Jabat (Rabi'ah 2003: 1). Nama yang digunakan oleh ahli keluarganya dan juga penduduk tempatan ialah Hassan Abdul Rahman. Beliau telah berkahwin dengan seorang wanita Maghribi. Beliau berasal daripada keturunan Melayu Patani di selatan Thailand (Rabi'ah 2003: 1). Ayah beliau merupakan seorang khatib dan bilal. Oleh itu, beliau mempelajari `al-Quran' melalui bapanya. Selain itu, beliau juga mempelajari `al-Quran' dan fardu ain daripada bapa saudara dan ibu saudaranya (Astora 2005). 3.2.2 Pendidikan Astora mula bersekolah semasa berumur 5 tahun, iaitu di sekolah Melayu atau kini lebih dikenali sebagai sekolah tadika atau prasekolah yang terletak berhampiran Masjid al-Jum’iyah, Kedai Jabat. Beliau menuntut ilmu di sana sehingga berumur 7 tahun. Antara gurunya ialah Che Tit dan berasal dari Terengganu yang kemudiannya berhijrah ke Thailand (Astora 2005). Kemudian, Astora melanjutkan pengajiannya di sekolah rendah Thai, Sekolah Ban Yaba Uppakarn Withaya, Jabat. Selepas tamat sekolah rendah Thai, beliau melanjutkan pengajiannya di sekolah pondok. Sekolah pondok pertama beliau ialah Sekolah Nandah asy-Syubban di Kampung Pedau, Jabat, Narathiwat. Sekolah pondok ini merupakan sekolah pondok moden. Selepas itu, beliau menyambung lagi pelajarannya di Sekolah Nandatul Ulum di Yala, Selatan Thailand selama 2 tahun. Setelah tamat belajar di sekolah tersebut, beliau menyambung pula pelajarannya di Sekolah Al-Asriah atau dahulunya dikenali sebagai Institut Pendidikan Islam (API) di Wakaf Baru, Kelantan (Astora 2005). Setelah tamat belajar di Wakaf Baru, beliau menyambung pelajarannya ke luar negeri. Pada peringkat awal, beliau bercita-cita ingin belajar di Indonesia kerana lebih berminat dengan bahasa Melayu. Ketika belajar di kampung beliau lebih berminat dengan bahasa Melayu, Inggeris dan Thai. Beliau tidak berminat dengan bahasa Arab. Akan tetapi, akibat daripada masalah kewangan pada waktu itu, beliau tidak dapat pergi ke Indonesia. Lantas, beliau mengambil alternatif dengan memulakan pemiagaan koperasi dan mengajar di Sekolah Nahdhah asy-Syubban. Kemudian beliau mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri, iaitu di Algeria (Astora 2005).




Beliau berangkat ke Algeria pada akhir tahun 1975. Setelah sampai di sana, beliau rnendapati tempatnya telah diambil oleh pelajar lain yang mempunyai prestasi lebih cemerlang daripada beliau. Kemudian, beliau dihantar ke Tunisia, tetapi beliau tidak dapat memasuki universiti di sana. Bahkan beliau dikehendaki untuk belajar (thanawi) di Ma'had al-Wa'zhu wal-Irshad di Qairawan. Ketika itu beliau telah berusia 22 tahun (Astora 2005). Antara kelebihan beliau dihantar ke Ma'had tersebut ialah kerana beliau mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris, di samping beliau mempunyai peluang untuk rnempelajari bahasa Perancis. Walau bagaimanapun, beliau hanya belajar di sana selama setahun sahaja kerana undang-undangnya yang terlalu ketat dan mengongkong. Selain itu, Ma'had ini juga terletak di kawasan yang jauh dari bandar. Para pelajar dibawa ke bandar seminggu sekali untuk mandi-manda dan kadangkala dibawa pada hari perayaan tertentu (Astora 2005). Selepas itu, beliau mula mencari peluang di Maghribi dan di sana beliau telah diterima masuk ke Universiti Qurawiyyine di Fez dalam bidang syariah. Setelah belajar selama 5 tahun, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah. Kemudian Astora menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat sarjana dalam bidang `Ulum al-Quran' dan `Ulum al-Hadith' di Dar El-Hadis El-Hassania di Rabat, Maghribi. Di sana, beliau hanya sempat belajar (mengambil kerja kursus) tetapi tidak sempat membuat tesis (Astora 2005). Pada masa yang sama, beliau juga mengajar agama di sebuah sekolah Arab di Rabat selama 3 tahun. Pada masa itulah, beliau mendapat tawaran menjadi wakil Utusan Melayu di Kaherah. Memandangkan semangat beliau yang berkobar-kobar dalam bidang penulisan, selain gaji yang lumayan dan keadaan beliau yang sudah berkeluarga, beliau menerima tawaran tersebut. Oleh itu, beliau tidak sempat menamatkan pengajian di Dar El-Hadis El-Hassania (Astora 2005). 3.2.3 Penglibatan dalam Penulisan Astora Jabat mempunyai keistimewaaan dalam berkomunikasi. Ini kerana beliau dapat menguasai 5 bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Thai, Arab dan Perancis. Beliau juga merupakan wartawan Islam pertama yang dapat memasuki dan menjelajah kebanyakan wilayah Palestin dan Israel ketika intifadah sedang berlaku pada tahun 1980-an (Rabi'ah 2003: . Beliau mula menjadi wakil Utusan Melayu di Kaherah pada tahun 1988 dan bekerja di sana selama 8 tahun. Dalam masa tersebut, beliau juga pernah menjadi wakil Utusan Melayu di Bangkok, Thailand selama 2 tahun. Pada tahun 1997, beliau pulang ke Malaysia dan menjadi wartawan Utusan Melayu. Pada tahun 1999, beliau menjadi pengarang agama dalam akhbar Utusan Malaysia dan pada tahun 2003 beliau dilantik menjadi pengarang majalah Al-Islam di Utusan Karya.

3.3 KEMUNCULAN RUANGAN BICARA AGAMA

'Bicara Agama' bermaksud membicarakan atau membincangkan perkara yang berkaitan dengan Islam. Ruangan ini mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyampaikan pelbagai maklumat mengenai Islam kepada para pembaca. Keluaran pertamanya ialah pada 10 Januari 1999. Isu pertama yang dibincangkan oleh penulisnya, iaitu Astora Jabat, ialah mengenai murtad. Menurut Astora Jabat (2005), Bicara Agama mempunyai tiga matlamat. Matlamat utama yang mendorong beliau mewujudkan ruangan ini ialah sebagai pengisian ilmu kepada diri beliau sendiri. Beliau menulis maklumat yang beliau dapat dan fahami berpandukan pandangan atau pendapat daripada ulama-ulama terkenal dan juga kitab-kitab rujukan dalam pelbagai disiplin ilmu. Matlamat kedua pula ialah setelah beliau memahami sesuatu maklumat itu, beliau menyebarkan kepada masyarakat apabila mempunyai peluang. Tajuk-tajuk yang terdapat dalam ruangan Bicara Agama pula merupakan idea beliau sendiri dan bukannya datang daripada orang lain. Beliau juga mengatakan bahawa ruangan ini diwujudkan supaya masyarakat rajin berfikir dan jika mereka malas berfikir, mereka tidak perlu membaca ruangan ini. Manakala matlamat yang ketiga pula ialah dari segi politik. Pada akhir tahun 1998 dan awal 1999, negara ini telah dilanda krisis politik yang teruk. Contohnya, seperti isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan krisis ekonomi. Pada masa tersebut, kerajaan dikritik hebat oleh ulama pihak pembangkang, khususnya ulama Pas. Tiada cerdik pandai agama yang menulis dalam akhbar untuk membela kerajaan dan menjawab balik serangan Pas itu. Oleh itu, Astora mengambil inisiatif mewujudkan ruangan Bicara Agama ini sebagai menyokong tindakan kerajaan. Pada awal kewujudannya, iaitu pada tahun 1999, ruangan Bicara Agama berada di bahagian Kesihatan dalam Mingguan Malaysia. Pada masa tersebut, ia berada di halaman 27, kadangkala di halaman 23 atau 29 akhbar tersebut. Kini, ia terletak di halaman 8 atau 9. Manakala namanya juga telah ditukar daripada Bicara Agama kepada Bicara Ahad. Sementara itu, ruangan E-mel Daripada Pembaca ditukar menjadi E-Pembaca. Ruangan E-Pembaca merupakan ruangan soal-jawab daripada pembaca kepada pihak Astora, dan ia terletak di sebelah ruangan Bicara Agama. Ia juga merupakan ruangan kelolaan Astora. Tanggal 2 Mei 2004 merupakan keluaran terakhir ruangan Bicara Agama sebelum ia diberhentikan sementara atas desakan pihak tertentu. Ini disebabkan, terdapat pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan pandangan Astora dalam ruangan tersebut. Walau bagaimanapun, ia hanya diberhentikan sebanyak 2 keluaran sahaja dan pada 23 Mei 2004, ruangan ini diwujudkan semula dengan nama Bicara Ahad (Hassan 2005). Kewujudan semula ruangan ini ialah atas permintaan banyak pihak termasuk para pembaca, juga pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan kerajaan. (Astora 2004: . Walaupun nama Bicara Agama telah ditukar kepada Bicara Ahad, ia tetap memberi tumpuan kepada isu-isu agama, tetapi diubah sedikit pendekatannya. Ruang lingkup perbincangannya diperluaskan mencakupi semua aspek kehidupan yang mempunyai kaitan dengan agama. Manakala ruangan E-Pembaca masih kekal dengan pendekatan lama, iaitu menyiarkan pertanyaan dan pandangan pro dan kontra para pembaca serta jawapan atau ulasan penulisnya (Astora 2004: )

• Dipetik dari tesis sarjana muda Mariza Binti Mohammad Adib @ Ghazali, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 2005. • Tajuk tesis Peranan Akhbar Mingguan Malaysia Dalam Perkembangan Islam: Fokus kepada ruangan Bicara Agama dari Janruari hingga Jun 1999

Ulasan