PEMIMPIN BIJAKSANA DIKELILINGI PAKAR HEBAT: PENGALAMAN MALAYSIA DAN THAILAND



Pengalaman saya membantu orang pemimpin politik di Malaysia dan Thailand dapat memberikan satu kesimpulan yang jelas begini. Seorang pemimpin yang pintar dan bijaksana tidak mungkin berfungsi dengan baik secara bersendirian. Sama ada beliau seorang perdana menteri, raja, presiden atau pemimpin tertinggi mana-mana organisasi — kejayaan kepimpinannya banyak bergantung kepada pasukan pemikir dan penasihat yang disekelilingnya.

1. Keperluan Think Tank dan Pakar Pelbagai Bidang

Dalam dunia moden yang penuh cabaran kompleks ini, seorang pemimpin perlu dikelilingi oleh pasukan pemikir (think tank) dan pakar daripada pelbagai bidang:

Undang-undang dan perlembagaan

Sistem kehakiman

Agama dan etika

Ekonomi dan falsafah politik

Teknologi dan sains

Keselamatan dan hubungan antarabangsa

Paling terkini — pakar IT, media sosial dan kecerdasan buatan (AI)


Tanpa pasukan yang mantap ini, seorang pemimpin mudah menjadi mangsa keputusan reaktif, maklumat separuh masak, dan strategi jangka pendek yang membahayakan agama, bangsa dan negara.

2. Pakar yang Sentiasa Dekat dan Boleh Dicapai

Bukan sahaja penting untuk memiliki kumpulan pakar ini, tetapi mereka juga harus boleh diakses pada bila-bila masa, terutamanya semasa krisis atau ketika membuat keputusan kritikal. Dalam era digital, waktu menunggu berminit boleh memusnahkan peluang atau menyemarakkan krisis. Pemimpin bijaksana akan pastikan maklumat dan nasihat terbaik sentiasa di hujung jari.

3. Kegagalan Pemimpin Tanpa Pasukan Pintar

Namun, dalam banyak kes sesetengah pemimpin sering tidak selesa dikelilingi oleh orang yang lebih pintar daripada mereka. Mereka memilih penasihat yang menurut sahaja,  bukan menasihat dengan jujur. Mereka lebih gemar pujian daripada peringatan.

Pengalaman saya di Thailand menunjukkan bahawa apabila tentera mengambil alih kuasa, mereka sering mewarisi budaya autoritarian yang menganggap pandangan bertentangan sebagai ancaman, bukan sebagai input strategik. Kesannya, pemimpin menjadi terasing daripada realiti sebenar dan membuat keputusan yang merugikan rakyat.

4. Bahaya Penasihat ‘Kaki Ampu’

Satu lagi fenomena berbahaya ialah apabila penasihat dipilih berdasarkan kesetiaan politik, bukan kepakaran. Dalam kes ini, think tank yang dibentuk hanyalah ‘think thank you’ — satu barisan pengampu yang memuji setiap langkah pemimpin, walaupun salah dan tidak masuk akal.

Maka lahirlah situasi di mana:

Pemimpin menjawab soalan wartawan secara salah dan memalukan diri.

Polisi diumumkan tergesa-gesa tanpa pertimbangan kesan jangka panjang.

Retorik menutup realiti dan rakyat jadi mangsa.


5. Pemimpin Perlu Amanah, Bukan Sekadar Bijak

Namun tidak cukup sekadar mempunyai penasihat yang cerdas. Pemimpin sendiri mesti memiliki nilai moral yang tinggi: amanah, jujur, tidak hipokrit dan tidak suka berbohong. Tanpa integriti, semua kepakaran di sekelilingnya akan disalahguna untuk menghalalkan kezaliman dan kepentingan peribadi.

Pemimpin sejati ialah gabungan kecerdasan strategik, kejujuran moral dan keterbukaan terhadap nasihat yang membina, walaupun pahit.


6. Cerminan kepimpinan masa depan.

Negara sepatutnya bukan dipimpin oleh orang yang tahu segalanya, tetapi oleh pemimpin yang tahu bagaimana untuk mendengar, menilai dan bertindak berdasarkan nasihat yang terbaik daripada pelbagai pihak. Pemimpin itu pula tidak takut untuk mengakui kekurangan sendiri dan tidak segan bertanya kepada orang yang lebih tahu.

Pemimpin yang takut pada kepandaian orang lain adalah ancaman kepada masa depan. Sebaliknya, pemimpin yang meraikan intelektual dan membuka ruang wacana yang sihat akan melahirkan tamadun yang lebih hebat dan rakyat yang lebih sejahtera.

Akhir kata, pemimpin bijaksana tidak lahir dalam ruang kosong. Mereka dikelilingi oleh pemikir hebat yang bukan sahaja menyumbang idea, tetapi juga mengawal nafsu dan menasihati dengan hati yang jujur. Inilah cerminan kepimpinan masa depan yang kita perlukan — pemimpin yang berani didekati oleh orang cerdik dan tidak gentar dikritik demi kebaikan bersama.



Astora Jabat, pemerhati politik dan masyarakat Serantau, dari Bangkok.


Ulasan