BILA ABANG (INDIA) DAN ADIK (PAKISTAN), MEMILIH UNTUK BERPERANG




Ketika dunia ini masih terbakar — di Ukraine, di Gaza, di Syria, di Lubnan, di Yaman — hari ini (7 Mei 2025) kita dikejutkan pula dengan api baru yang dinyalakan. India, sebuah kuasa besar di Asia Selatan, telah melancarkan serangan ke atas jirannya, Pakistan.

Ini bukan sekadar berita perang. Ini adalah tragedi peradaban. Kerana India dan Pakistan bukan dua musuh yang asing. Mereka berasal dari rahim yang sama. Dua saudara yang pernah hidup dalam satu rumah besar pada masa lalu termasuk pada era India British. 

Mereka berkongsi darah, bahasa, budaya, makanan, dan bahkan cerita rakyat. Hanya kerana perbezaan agama, mereka dipisahkan. Tetapi perbezaan itu sepatutnya mendidik kita tentang toleransi, bukan melahirkan permusuhan.

Mengapa abang dan adik ini memilih untuk saling membunuh?

Adakah sempadan lebih berharga daripada nyawa manusia?

Adakah dendam sejarah harus terus diwariskan, sehingga anak cucu kita hidup dalam ketakutan dan kebencian?

Perang ini, seperti perang-perang lain yang sedang berlaku, adalah tanda betapa dunia ini semakin kehilangan suara yang waras. Kita terlalu cepat memilih senjata, dan terlalu lambat memilih meja rundingan. Kita terlalu mudah menyemai kebencian, dan terlalu sukar menumbuhkan pengertian.


Ulasan