Dalam sejarah panjang dunia, banyak kuasa besar jatuh bukan kerana serangan musuh luar, tetapi kerana mereka gagal memahami satu hakikat: kekuatan sebenar tidak datang semata-mata daripada senjata dan teknologi, tetapi daripada semangat rakyat yang tidak mahu dijajah dan ditindas.
Hari ini, dunia menyaksikan bagaimana Rusia, meskipun memiliki kekuatan ketenteraan yang luar biasa dan senjata nuklear, terus bergelut dalam peperangannya dengan Ukraine. Apa yang disangka ramai sebagai satu pencerobohan pantas dan mudah telah berubah menjadi konflik berpanjangan yang penuh darah, kehancuran, dan keaiban moral.
Situasi ini mengingatkan kita kepada pengalaman kuasa besar sebelum ini. Amerika Syarikat (AS), selepas muncul sebagai pemenang Perang Dunia Kedua dan membina hegemoni global, turut melalui kegagalan demi kegagalan apabila berhadapan dengan gerakan rakyat.
Di Korea, ia terpaksa menerima kebuntuan.
Di Vietnam, ratusan ribu tentera dan serangan udara tidak dapat menundukkan semangat rakyat yang bangkit. AS kalah.
Di Afghanistan, selepas 20 tahun, Taliban kembali berkuasa sebaik tentera Amerika berundur. AS kalah juga.
Di Iraq, walaupun Saddam tumbang, keamanan tidak pernah stabil. AS gagal dan kalah.
Kesemua ini menampakkan satu pola yang jelas: kuasa besar boleh memusnahkan bandar, tetapi sukar memusnahkan semangat rakyat.
Di Timur Tengah, kita melihat satu lagi manifestasi semangat ini—di Gaza, di mana Hamas dan pelbagai kumpulan pejuang Palestin terus berdepan kekuatan ketenteraan antara yang tercanggih di dunia, iaitu Israel, dengan keberanian yang luar biasa. Walaupun dikepung, dibom, dan disekat dari segala arah, Gaza tidak tunduk.
Setiap kali Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar, dunia menyaksikan bagaimana Hamas dan rakyat Gaza tetap melawan, bukan kerana kekuatan senjata, tetapi kerana mereka percaya pada hak mereka untuk hidup merdeka di tanah sendiri.
Dalam momen-momen getir inilah, bait puisi agung penyair Tunisia, Abou Qasem El-Chabi, kembali bergaung dalam jiwa-jiwa yang merdeka:
إذا الشَّعبُ يومًا أراد الحياةَ
فلا بُدَّ أنْ يستجيبَ القدرْ
ولا بُدَّ للَّيلِ أنْ ينجلي
ولا بُدَّ للقيدِ أن ينكسرْ
“Jika rakyat suatu hari mahu hidup,
maka takdir pasti akan menyahutnya.
Malam yang gelap akan berlalu,
dan rantai belenggu pasti akan hancur.”
Bait ini bukan sekadar syair—ia adalah denyut nadi perjuangan rakyat Gaza, rakyat Ukraine, rakyat Vietnam, dan seluruh dunia yang tertindas.
Pelajaran yang Tidak Diambil oleh Rusia.
Rusia hari ini mengulangi kesilapan Amerika Syarikat dahulu. Dengan strategi ketenteraan yang konvensional dan retorik imperialisme lama, ia menyangka dapat menundukkan Ukraine seperti mana kuasa penjajah dahulu menjajah tanah jajahan. Namun, dunia telah berubah. Rakyat tidak lagi mudah digertak oleh kereta kebal dan bom dari langit.
Sebaliknya, Rusia kini terjerat dalam perang berlarutan, ditekan oleh sekatan ekonomi, pengasingan diplomatik, kemerosotan dalaman, dan kehilangan sokongan antarabangsa.
Amerika Syarikat kini melalui fasa refleksi semula. Presiden Donald Trump, dengan slogan "America First", menekankan keutamaan pembangunan domestik berbanding campur tangan luar.
Walaupun penuh kontroversi, pendekatan ini mencerminkan satu kesedaran bahawa pengaruh melalui kekuatan senjata bukan lagi strategi mampan.
Kuasa besar hari ini perlu membina pengaruh melalui:
Ekonomi yang berdaya saing.
Inovasi teknologi dan pendidikan.
Jaringan diplomatik yang saling menguntungkan
Budaya dan nilai yang memberi inspirasi.
Selepas Perang Dunia Kedua, Amerika muncul sebagai kuasa utama bukan kerana kekuatan tenteranya sahaja, tetapi kerana Rancangan Marshall, penubuhan PBB dan IMF, serta penyebaran budaya popular yang mencengkam dunia.
Kesimpulan:
Kuasa Rakyat Tidak Dapat Dipadam. Dari Algiers ke Gaza, dari Saigon ke Kyiv, sejarah telah berkali-kali membuktikan bahawa rakyat biasa, apabila bersatu dan memiliki semangat juang yang tinggi, mampu menewaskan kuasa besar.
Peperangan moden bukan lagi ditentukan oleh bilangan peluru, tetapi oleh kekuatan moral, naratif perjuangan, dan solidariti antarabangsa.
Dan seperti yang ditulis oleh El-Chabi, "tidak ada malam yang kekal, dan tidak ada rantai yang tidak akan pecah." Rakyat yang menginginkan kebebasan dan keadilan, pasti akan mencipta jalannya sendiri—biarpun lambat, biarpun berdarah.
Dari Astora Jabat di Bangkok.
Ulasan