Warga Malaysia jadi pemimpin militan

07 November 2017 3:00 AM

MANILA 6 Nov. – Pihak berkuasa Filipina kini memburu seorang rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi pemimpin baharu kepada kumpulan-kumpulan militan di Asia Tenggara.
Amin Baco
AMIN BACO

Setiausaha Pertahanan Fi­lipina, Delfin Lorenzana berkata, pihak berkuasa negara ini sedang mencari seorang individu yang dikenali sebagai Amin Baco.

“Amin Baco merupakan rakyat Malaysia dan dia disyaki menjadi pemimpin baharu atau ‘emir’ kepada kumpulan-kumpulan militan di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Ketua Polis Filipina, Ronaldo dela Rosa menyatakan beliau mendapat maklumat bahawa Amin mempunyai kepakaran membuat bom dan telah dipilih menjadi ketua baharu kumpulan militan.

Maklumat itu diperoleh selepas penahanan seorang rakyat Indonesia di Marawi pada minggu lepas.

Kumpulan pakar pula menjelaskan Amin sebelum ini dilatih oleh anggota militan warga Malaysia iaitu Zulkifli Hir atau dikenali sebagai Marwan sebelum dia terbunuh dalam satu pertempuran di wilayah Maguinda­nao pada tahun 2015 dan turut menyaksikan seramai 44 anggota polis terkorban.

Dalam pada itu, berdasarkan sumber ketente­raan Filipina, Amin mungkin berada di pulau Jolo atau berhampiran Maguindanao dan menyatakan lelaki yang sudah lama memasuki negara ini mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Jemaah Islamiah.

“Amin dilaporkan telah berkahwin dengan anak perempuan pemimpin kumpulan militan tempatan dan dipercayai sebelum ini pernah menyalurkan dana, senjata api dan merekrut ahli baharu dari Indonesia dan Malaysia.

“Amin dikatakan bakal menjadi pemimpin baharu rangkaian kumpulan militan baharu berdasarkan hubungan baiknya dengan beberapa puak pelampau daripada pelbagai kumpulan di Mindanao,” jelas sumber tersebut.

Biarpun kerajaan Filipina sebelum ini mengumumkan Marawi sudah bebas daripada militan, pasukan tentera masih bertempur dengan anggota-anggota militan yang didakwa bersembunyi di bandar tersebut dan pertempuran itu menyebabkan sembilan anggota militan terbunuh. – REUTERS

Sumber: Utusan Malaysia 7 November 2019

Ulasan