Buang Bayi: Banding orang Barat dengan orang Melayu

Orang Muslim sangat hebat membincang tentang kerosakan akhlak orang Barat. Kadang-kadang kita menghentam dan mencemuh mereka tanpa sedar diri. Tidak sedar apa yang berlaku dalam masyarakat kita sendiri lebih teruk daripada Barat. Banyak tulisan dalam akhbar, majalah dan buku mengangdungi pandangan projeksi ke burukan diri sendiri kepada orang lain itu.

Berdasarkan pengalaman peribadi, saya dapati orang Barat mempunyai akhlak lebih baik daripada ramai orang Muslim kecuali dalam beberapa aspek seperti mimun dan seks.

Imam Muhammad Abduh juga (1849 - 1905) melihat Barat lebih 100 tahun lalu dengan pandangan positif dan boleh dicontohi. Ada kata-kata yang dinisbah kepadanya berbunyi: 'Aku  melihat Islam (ada di Barat) tetapi aku tidak melihat orang Muslim (ada di sana). Sedangkan aku orang Muslim (ada di negara-negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam.'

Memanglah banyak sekali perkara-perkara negatif yang berlaku di Barat boleh disenaraikan terutama dari sudut kaca mata kita. Tetapi kita jangan panik dan kehilangan punca bila melihat perkara negatif yang begitu banyak berlaku di Barat itu. Apa yang perlu kita perlu memberi perhatian bukan saja gejala sosial yang amat berleluasa itu, tetapi juga kepada kebijaksanaan mereka menyelesaikannya.

Ambil contoh buang bayi yang sedang menjadi isu hangat Malaysia kini, bagaimana mereka boleh menyelesai dalam menghad kadar pembuangan bayi ke tahap yang paling minimal tetapi kita tidak ampu? Ini yang perlu kita belajar dan ambil contoh.

Malaysia dan semua negara Islam yang mahu menjadi negara maju pasti berhadapan dengan gejala-gejala sosial seperti yang dihadapi Barat kini. Tidak boleh lari kerana gelaja sosial adalah produk kemajuan dan peradaban. Cuba buka limpatan sejarah kemajuan dan peradaban umat Muslim pada era negara Umawiyyah di Damsyik dan negara Abbasiyyah di Baghdad. Lebih jelas sekali di Baghdad seperti dicatat dalam kitab 1001 dan lain-lain. Apa gejala sosial hebat yang tidak ada di Baghdad. Di samping kemajuan dan peradaban ilmu tinggi yang disanjung dunia itu, segala istana dan rumah orang kaya di Baghdad penuh dengan bermacam-macam ketidaksenonohan. Masyarakat yang tidak senonoh pun terdapat di mana-mana. Perbuatan liwat menjadi fenomena di kalangan orang-orang ternama. Pada hal paza zaman itu kahwin mudah. Tidak cukup satu, boleh dua. Tidak cukup dua, boleh tiga dan empat. Malah tidak mahu berkahwin pun tidak  mengapa kerana boleh tidur dengan gundik atau hamba.

Itu antara punca menyebabkan muncul ajaran agama aliran keras macam yang dibawa Imam Ahmad bin Hanbal yang menjadi asas kepada puak Salafi Wahhabi. Ia merupakan ajaran agama kontra kepada mala petaka yang muncul dalam masyarakat pada zaman itu.

Saya tidak mahu kata keadaan di Baghdad pada zaman-zaman tertentu lebih dahsyah dari Barat kini. Tetapi katakan ia tidak berbeza sangat dengan yang berlaku di Barat kini.

Di Barat sekarang sudah tentu pergaulan bebas (sebenarnya pergaulan tanpa batas) ada. Seks bebas ada. Seks rambang pun ada. Liwat juga berleluasa. Semua perkara tidak senonoh berlaku setiap masa.

Saya panjangan sikit lagi. Pakaian seksi menjolok mata yang dinilai sebagai antara punca perzinaan oleh ulama-ulama kita sudah tentu menjadi kegemaran ramai anak gadis di Barat. Perzinaan tidak lagi dipanggil perzinaan di kalangan mereka di sana kerana melakukan hubungan seks dianggap menjadi hak peribadi seseorang tanpa perlu berkahwin. Hiburan pula sangat melampau dan sampai ke peringkat diadakan seks parti. Porno tidak usah kira kerana boleh akses di mana-mana. Banyak lagi yang boleh disenaraipanjang.

Secara angka dengan ringkas saya menyebut 47.8 peratus pelajar wanita sekolah menengah di Amerika Syarikat (AS) pernah mengadakan hubungan seks mengikut perangkaan Centers for Disease Control and Prevention tahun 2007. Rujukan: http://en.wikipedia.org/wiki/Adolescent_sexuality_in_the_United_States

Dalam peringkat universiti pula menurut perangkaan 2001, sebanyak 87 peratus pelajar berusia 19 tahun pernah mengaakan hubungan seks. Purata penduduk lelaki AS mengadakan hubungan seks di usia 19 tahun adalah 80 peratus di pihak lelaki dan 75 peratus di pihak wanita. Rujukan: http://www.gnxp.com/blog/2007/04/intercourse-and-intelligence.php

Berdasarkan semua fakta yang disebut di atas membolehkan kita melabel AS sebagai negara yang paling rosak akhlak di dunia. Malah mahu labelnya sebagai negara anak zina pun boleh kerana AS mencatat kelahiran anak luar nikah tertinggi di dunia sejak tahun 50-an lagi. Adiknya adalah negara-negara Eropah dan sepupunya negara saya, iaitu Thailand.

NAMUN BEGITU kenapa tidak banyak kejadian membuang bayi di Barat? Kenapa Malaysia menjadi jaguh dalam perkara ini?

Amat memalukannya kerana kebanyakan orang yang terlibat dalam perbuatan yang dihukum al-Quran bahawa pelakunya akan berkekalan dalam neraka jika tidak bertaubat adalah orang Muslim (Melayu khususnya) yang berada di tahap kesedaran agama paling kental kini.

Saya ulangi Malaysia dan semua negara Islamm tidak dapat lari daripada gejala sosial ini jika mahu menjadi negara maju. Kerana selain peradaban Umamiyyah dan Abbasiyyah seperti telah disebut di atas, semua peradaban besar dunia dinodai dengan bermacam-macam gejala sosial yang serupa belaka.

Ia  boleh menjadi punca kejatuhan ummat dan peradaban jika tidak berjaya mencari penyelesaian yang sesuai untuk mengembalikan keseimbangan dalam masyarakat. Allah mengingatkan kita dalam al-Quran bepata banyak negeri atau negara yang telah menjadi hancur dan runtuh kerana penghuninya tidak berdaya mencari penyelesaian yang sesuai untuk berhadapan dengan mala petaka yang dihadapi.

Ingat bahawa survival sebuah masyarakat dan negara menurut pandangan Islam termasuk sunnah at-tadafu' bukan perlu menjadi masyarakat dan negara malaikat/utopia yang kena baik seratus peratus, tetapi memadai dengan masyarakat dan negara yang seimbang.

Dalam konteks Malaysia, gejala sosial dalam bentuk pembuangan bayi menjadi simptom awal penyakit peradanan atau penyakit yang melanda semua negara yang akan menjadi negara maju.

Dengan itu apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia adalah mencari penyelesaian yang paling sesuai untuk memerangi gejala sosial itu. Pada pandangan saya, Malaysia perlu mengguna pelbagai pendekatan bimbingan, pencegahan dan jalan keluar.

Malaysia boleh gabungkan pelbagai pendekatan itu dengan pengalaman negara-negara yang kuat dilanda gejala sosial seperti negara-negara Barat, tetapi mempunyai kadar pembuangan bayi yang rendah. Wallahu'alam.

Ulasan

Unknown berkata…
saya suka dengan pandangan astora yang melontarkan pandangan yang jujur dan benar...tetapi dlam artikel ini saudara tidak menyatakan jalan penyelesaiannya melainkan pembukaan dan daftar isi yang ilmiah semata mata...adalahh lebih baik saudara menunjukkan atau menyuluhkan para pembaca dengan jawapan yang bernas
Unknown berkata…
saya suka dengan pandangan astora yang melontarkan pandangan yang jujur dan benar...tetapi dlam artikel ini saudara tidak menyatakan jalan penyelesaiannya melainkan pembukaan dan daftar isi yang ilmiah semata mata...adalahh lebih baik saudara menunjukkan atau menyuluhkan para pembaca dengan jawapan yang bernas dan jelas
Astora Jabat berkata…
Salam Dunia,

Di akhir tulisan saya menyebut penyelesaiannya dengan berkata: "Dengan itu apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia adalah mencari penyelesaian yang paling sesuai untuk memerangi gejala sosial itu. Pada pandangan saya, Malaysia perlu mengguna pelbagai pendekatan bimbingan, pencegahan dan jalan keluar.

"Malaysia boleh gabungkan pelbagai pendekatan itu dengan pengalaman negara-negara yang kuat dilanda gejala sosial seperti negara-negara Barat, tetapi mempunyai kadar pembuangan bayi yang rendah."

Dalam tulisan beberapa tahun lalu dalam majalah AL ISLAM dan Mingguan Malaysia, saya juga telah membincang bahawa anak zina boleh dibin kepada bapa, dengan membawa pelbagai pandangan ulama silam dan ulama zaman sekarang. Dalam tulisan itu saya menggalakan si lelaki dan si wanita yang telah terlanjur berkahwin dan anak mereka menjadi anak yang sah taraf.

Dalam peringkat awal tulisan saya itu dianggap kontroversi, tetapi lama kelamaan mendapat sokongan di mana pihak selalu menentang saya, iaitu Pas untuk menyiarkan rencana yang serupa dalam Harakah. Dan kemudian bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pun menulis rencan yang serupa.

Bagaimanapun, idea yang terkandung dalam rencana saya, Harakah dan Dr. Asri telah diambil untuk dilaksana di Malaysia kecuali dalam peringkat perseorangan.

Sekarang ustaz-ustaz dan mufti-mufti yang one tranck thinking dan tidak suka perbezaan pandangan masih berpegang dengan pandangan Imam asy-Syafi'i dan ulama-ulama lain yang menganjurkan kebenaran si bapa boleh berkahwin dengan anak zinanya.
Astora Jabat berkata…
Salam sekali lagi dunia,

Saya berancang untuk membuat penyelidikan mengenai siu pem buangan bayi ini bagi mengeluarkan buku kecil mengenainya yang mengandunyi pelbagai cara menyelesainya.
Unknown berkata…
baik astora...
btul saudara ada mengatakan cara penyelesaiyannya tetapi begitu kabur sekali gambarannya....sebaiknya saudara memberikan contoh yang mampan atau sebenarnya saudara sendiri juga masih tercari cari??..
bukannya apa, kelemahan ini akan memberikan pihak musuh menghentam saudara. maklumlah saudara adalah penulis kontroversi negara..
akhir sekali diharap saudara benar2 berusaha mencari jawapan terhadap gejala sosial ini..
moga2 usaha saudara dengan menerbitkan buku itu saudara beroleh jawapan yang berkesan dan semestinya jelas tanpa kekaburan..
Astora Jabat berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Astora Jabat berkata…
Salam Dunia,

Mengenai isu anak zina, penjelasan saya adalah perinci dan ramai merujk kepadanya kerana saya telah menyebut pelbagai pandangan dengan rujukan sekali. Adapa yang dicadang dalam blog bersifat dasar kerana mahu pihak bertangungjawab membuat penyelisikan.