Mengurat dan bercinta halal atau haram?

Ramai ulama bila ditanya hukum tentang cinta, mereka biasanya akan menjawab: ‘Cinta yang hakiki adalah cinta pada Allah dan Rasul-Nya’. Orang-orang bermusykil yang ingin mendapat pandangan atau fatwa yang boleh dijadikan panduan hidup di alam nyata, tetapi ulama membawa mereka ke alam maya atau alam metazik. Jawapan yang diberi bisa menutup mulut orang-orang bertanya, tetapi bukan jawapan yang dihendaki mereka dan jauh sekali merupakan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Malah jawapan itu sendiri mencipta masalah kepada mereka dan sesiapa yang membaca dan mendengarnya. Kerana jawapan itu boleh menimbulkan keraguan mereka terhadap cinta antara manusia, sama ada antara suami isteri mahupun antara mereka dengan anak-anak, ibu bapa, kawan-kawan dan sebagainya. Maklumlah jika kita menganggap cinta kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja yang hakiki, maka boleh menyebabkan orang menggap cinta sesama manusia itu palsu. Ini amat berbahaya.

Cinta adalah harus dalam Islam, tetapi mesti ditegak melalui empat tahap ini. Pertama, berkenalan, bertunang, akad nikah dan hidup bersama. Tahap pertama dan tahap kedua ini merupakan tahap yang paling berbahaya kerana ada di kalangan kita yang mahu makan buah sebelum masak.

Tujuh tahun lalu saya pernah menulis sebuah rencana mengenai mengurat dan bercinta disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 16 Mac 2003. Saya ada baik menyorot kembali tulisan yang bertajuk ‘Berguna jika diakhiri dengan perkahwinan -- Mengurat dan bercinta’.

Dalam tulisan itu saya memulakan dengan kisah pelajar lelaki dan wanita dihukum kerana bercinta. Saya menulis, menurut laporan akhbar, hukuman yang dilaksanakan ke atas seorang
pelajar lelaki dan seorang pelajar wanita di sebuah sekolah agama
rakyat di Banggol Setol, Jeram Perdah, Pasir Mas Isnin 10 Mac 2003 berpunca
daripada tindakan mereka berdua berbual di kantin.

Saya menyoal, masuk akalkah pelajar lelaki berbual dengan pelajar wanita dikenakan
hukuman yang berat itu apatah lagi di sekolah agama rakyat yang
membenarkan lelaki berbual dengan wanita itu?

Jawabnya, tidak masuk akal.

Kerana tidak masuk akal saya membuat mengandaikan ada sebab lain yang menyebabkan pelajar
lelaki dan wanita itu dirotan sebanyak 25 kali.

Saya tidak mengetahui apa sebab-sebab sebenar yang menyebabkan perkara itu berlaku. Cuma katanya pelajar wanita yang malang itu merupakan `bunga istimewa' yang paling mendapat perhatian di kalangan `kumbang-kumbang' di sekolah agama berkenaan.
Oleh itu kemungkinan besar pelaksanaan hukuman yang didakwa hudud itu ada kaitan dengan cinta atau perebutan cinta yang bercampur aduk dengan silap faham konsep amal makruf dan nahi mungkar dalam Islam, kata saya.

Seterusnya saya menulis bahawa saya tidak berhasrat untuk membincangkan dengan
panjang lebar mengenai perkara itu kerana ingin membincangkan mengenai hukum lelaki berbual dengan wanita untuk mengurat dan bercinta. Apakah hukumnya?

Secara kasarnya ada sesetengah ulama menganggap mengurat dan bercinta itu halal. Tetapi kebanyakan ulama menganggapnya haram. Bagaimanapun, di kalangan ulama fiqah terdapat beberapa orang ulama
yang merupakan pencinta yang hebat seperti Daud az-Zahiri, imam
Mazhab az-Zahiri.

Sebenarnya mengurat dan bercinta sama-sama penting dalam kehidupan, hurai saya kerana tiada sesiapa pun dapat lari daripada mengurat dan bercinta termasuk mereka yang mendakwa bercinta selepas berkahwin. Kerana mereka yang mendakwa bercinta selepas kahwin pun biasanya akan melihat bakal isteri sebelum diijabkabulkan.

Selain itu jika cinta dianggap mukadimah kepada perkahwinan, maka mengurat pula dianggap mukadimah kepada cinta. Kedua-duanya berkaitan antara satu sama lain kecuali bagi mereka yang berkahwin atas pilihan keluarga.

Mengurat dan bercinta dianggap berguna jika ia membawa kepada kebaikan. Sebagai contoh mengurat dan bercinta yang disusuli dengan perkahwinan dan mendirikan rumah tangga adalah berguna kerana ia
membawa kebaikan. Dari situ terbentuk pula keluarga dan daripada keluarga, terbentuk masyarakat seterusnya negara. Tidakkah dalam konteks ini mengurat dan bercinta tepat dengan ajaran Islam?
Jawabnya ia tepat dengan ajaran Islam kerana manusia yang diamanahkan oleh Allah menjadi khalifah di bumi perlu meneruskan survival sampai ke hari kiamat. Mungkin jika manusia tidak mengurat
dan bercinta, mereka akan pupus di dunia seperti kepupusan dinosaur dan ini sudah tentu menyalahi amanah Allah itu.

Namun dari sudut lain mengurat dan bercinta dianggap tidak berguna dan tidak membawa kepada kebaikan. Mengurat dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukadimah kepada perkahwinan sebaliknya mukadimah kepada melahirkan anak luar nikah atau mencampak anak yang tidak berdosa ke dalam tong sampah dan longkang.

Mengurat dan bercinta seperti ini dilarang dan diharamkan dalam Islam. Selain itu perlu diingatkan juga bahawa tindakan seseorang itu mengurat dan bercinta itu biasanya bertitik tolak daripada
perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Oleh yang demikian sesiapa saja yang berhadapan dengan ajakan perasaan dan emosi untuk mengurat dan bercinta perlu berusaha sedaya upaya menggunakan kewarasan akal.

Malah mereka juga perlu mengelak daripada konteks fizik yang boleh mencetus keghairahan seks dan seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah, iaitu perzinaan.

Bagi mengelak perkara-perkara terkutuk itu daripada berlaku, panduan Rasulullah perlu dipatuhi. Baginda melarang orang Islam supaya jangan melampau dalam mengurat. Malah baginda menyuruh mereka bercinta kerana Allah, iaitu mencintai orang yang dikasihi kerana Allah.

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad s.a.w. membenarkan hamba menyanyikan lagu mengurat dipanggil ghazl. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah menyuruh Aisyah menghantar seorang hamba yang pandai menyanyi lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aisyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl. Baginda berkata:

Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl.
(Ibnu Majah. Hadis No. 1890)

Selanjutnya saya menjelaskan dalam tulisan itu bahawa ghazl bermaksud mengurat, tetapi ghazl dalam beberapa hadis Rasulullah bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik, lucah dan sebagainya.

Terdapat perkataan-perkataan Arab lain yang memberi maksud mengurat dan salah satunya disebut dalam beberapa hadis dan kitab-kitab fiqah sebagai tasybib.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain Rasulullah mengingatkan supaya seorang penyanyi keluarga baginda bernama Anjasyah supaya jangan terlalu melampau dalam mendendangkan lagu-lagu yang memperkatakan tentang mengurat dan cinta.

Saya mengutip hadis yang riwayat Muslim sebagai hujah di mana mana Rasulullah bersabda:

Perlahan-lahan wahai Anjasyah supaya kaca tidak pecah. Muslim memberi erti kaca itu adalah wanita kerana lemah (perasaan). (Sahih Muslim, juz 4, muka surat 1812).

Imam an-Nawawi menghuraikan hadis itu dengan berkata bahawa lagu-lagu yang didendang oleh Anjasyah itu turut menyentuh soal mengurat dan cinta. Lalu Rasulullah menyuruh Anjasyah berpada-pada sahaja dan jangan melampau. (Syarh an-Nawawi `Ala Sahid Muslim, juz 15, muka
surat 81)

Ulasan