PENGALAMAN MENILAI ULAMA

Salah seorang ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memberitahu saya mempertikaikan fatwa mufti dianggap menggina beliau. Saya terasa dengan kata-kata ketua pengarah JAKIM itu kerana terdapat dua orang mufti yang saya pernah membincang fatwa dan pendapat mereka. Perbincang saya tentang fatwa dan pandangan kedua-dua mufti itu mungkin boleh dianggap mempertikai, mengkritik, mencemuh, menghina mereka dan lain-lain anggapan yang mungkin tergambar dengan negatif dalam kepala ketua pengarah JAKIM itu dan orang-orang lain. Tetapi perbincangan saya dilakukan secara ilmiah kerana membandingkan fatwa dan pandangan mereka dengan banyak fatwa dan pandangan ulama lain. Dalam erti kata lain saya membawa pilihan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya terdahap permasalah dan kemusykilan yang disentuh kedua-dua mufti itu. Bolehkah perbuatan ini dianggap menghina mereka?

Bukankah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. pun dikritik dan ditegur sahabat-sahabat lain? Contohnya seperti dilakukan oleh seorang wanita dengan Khalifah Umar bin al-Khattab. Rasulullah juga dikritik dan ditegur sahabat dan baginda menerima kritikan dan teguran dengan dada terbuka serta memberitahu mereka bahawa mereka merujukkan kepada baginda mengenai urusan-urusan agama, sedangkan urusan-urusan dunia boleh mereka berijtihad sendiri kerana mereka lebih mengetahui.

Bercakap secara bodoh saya boleh bertanya siapakah kedua-dua mufti itu berbanding Umar bin al-Khattab dan Rasulullah?

Apa jua pun kini sangat ramai orang mahu menilai ulama lantaran pelbagai permasalahan estetika dan moraliti sesetengah ulama yang dapat dilihat masyarakat. Semua itu mendorong dan menyebabkan mereka menjadi serba salah untuk berguru dengan ulama.

Sebagai contoh kata si alif, bagaimana boleh kita berpegang dengan fatwa dan pandang ulama si anu kerana dia sendiri cakap tak serupa bikin. Si ba pula menolak fatwa dan pandangan ulama yang terlibat dalam politik kerana dulu mereka berkata wanita tidak boleh dan haram bertanding dalam pilihanraya, tetapi beberapa tahun kemudian mereka berkata pula boleh dan harus selepas menyedari wanitalah yang paling ramai mengundi. Bukan setakat itu. Mereka juga mendakwa sesiapa di kalangan lawan politiknya yang mempertikai fatwa dan pandangan baru mereka adalah jahil dan tidak tahu hukum Islam.

Mereka yang lain pula menerima dan menolak fatwa dan pandangan ulama tertentu berdasarkan kriteria anti-establishment dan pro-establishment. Yang pro kerajaan berkata itu ulama pembangkang, kita mesti tolak. Manakala yang pro pembangkang berkata itu ulama kerajaan, kita mesti tolak.

Begitulah haru-biru pemikiran sesetengah orang Muslim kerana tidak memiliki pendekatan yang sesuai untuk berguru atau mengambil ilmu daripada ulama.

Saya ingin menceritakan pengelaman peribadi berhubung masalah ini dan pendekatan yang digunakan untuk menyelesainya.

Sebagai pelajar agama sudah tentu bacaan saya juga kebanyakanya mengenai agama, maka kepala saya pada zaman remaja pun berkotak satu hala dalam melihat ulama. Kerana itulah ajaran sekolah agama pada zaman remaja dulu. Jika tidak putih, maka sudah tentu pasti hitam. Dengan itu ulama pada saya ketika itu mesti baik dan sempurna dalam segala-galanya, apatah lagi segi pemikiran dan tingkah laku.

Berdasarkan pendidikan agama tidak matang dan penilain satu hala itulah saya mengikut dan patuh dengan segala fatwa dan pandangan ulama-ulama tertentu secara fanatik sepenuhnya tanpa berani mempertikai walaupun kadangkala bermusykil juga kerana berasa janggal dengan sesetengah fatwa dan pandangan mereka. Bila ada pelajar senior atau guru atau penulis mengkritik fatwa dan pandangan ulama-ulama ikutan saya itu walaupun dalam bentuk kritikan membina, saya akan marah dan benci kepada mereka kerana tidak menerima kritikan mereka.

Bagaimanapun, selepas banyak membaca dan menyelidik tentang ulama ketika melanjutkan pendidikan agama di Maghribi, saya baru menyedari bahawa fanatik kepada sesiapa saja termasuk ulama adalah dilarang dalam Islam. Lantas kefanatikan saya kepada ulama-ulama ikutan saya pun hilang. Ada faktor lain yang membawa kepada perubahan saya itu, iaitu saya hidup bersama ulama atau berada dekat dengan mereka ketika itu. Jadi selain dapat melihat dan menilai ulama dengan hati melalui pembacaan dan penyelidikan, saya juga turut dapat melihat dan menilai mereka dengan masa kasar dalam masyarakat.

Dari sinilah terhasil pendekatan tidak fanatik kepada ulama, tetapi menerima semua mereka dengan menilai secara adil fatwa dan pandang mereka selepas mengambil kira bidang dan taraf pendidikan, terlibat dalam penyelidikan dan aktif berkarya, bebas dan berkecuali atau pro politik dan sebagainya. Kemudian fatwa dan pandangan para ulama itu pula dinilai berdasarkan al-Quran, hadis dan pelbagai kaedah Islam seperti harus berbeza pandangan, itjihad seorang ulama tidak boleh membatalkan ijtihad ulama lain dan sebagainya.

Dengan berpandukan pendekatan ini saya tidak lagi bermasalah bila mendapati mana-mana ulama mengeluarkan fatwa dan pandangan yang berbeza dan bercanggah dengan ulama lain. Kadangkala saya mendapati fatwa dan pandangan sesetengah ulama betul-betul tidak layak dan salah, tetapi saya boleh menerima fatwa dan pandangan seperti itu walaupun tetap mengangap ia tidak layak dan salah bila mengkaji pelbagai latar belakang ulama-ulama berkenaan dan persekitaran yang menyebabkan mereka mengeluarkannya. Saya menganggap fatwa dan pandangan seperti itu bukan untuk saya, tetapi untuk orang-orang Muslim lain kerana sesuai dengan mereka.

Ulasan