MT Umno bincang isu polemik ‘peribadi’ wahabi, JI

Ini satu lagi analisis mengenai perang antara Bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dengan pegawai Jakim, Zamihan Mat Zin disiar dalam Malaysian Insider hari ini. Sila membaca dengan teliti.

MT Umno pandang serius polemik ‘peribadi’ wahabi, JI

Oleh G. ManimaranJune 27, 2010KUALA LUMPUR, 27 Jun — Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat malam kelmarin dipercayai mengambil berat polemik mengenai dakwaan amalan fahaman wahabi dan ‘doktrin keras’ bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyumbang kepada aktiviti Jemaah Islamiah (JI).

The Malaysian Insider difahamkan beberapa ahli MT Umno membangkitkan isu berkenaan dengan meminta kerajaan bertindak tegas untuk menangani polemik berkenaan supaya tidak dilihat sebagai “masalah peribadi.”

Ini kerana menurut mereka isu semasa seolah-olah berubah menjadi masalah peribadi, sedangkan ia sepatutnya dianggap sebagai soal keselamatan semata-mata.

Difahamkan polemik dengan tuduh-menuduh sejak kebelakangan ini khususnya terhadap beberapa tokoh agama dan pemimpin menjejaskan imej kerajaan yang mempertingkatkan usaha menangani ancaman JI sejak awal tahun ini.

“Apa yang boleh saya katakan ialah MT Umno turut membincangkan isu ini dengan melihat isu terbaru dijadikan sebagai masalah peribadi personaliti-personaliti yang terbabit, bukan lagi perkara utama menyentuh kepentingan nasional,” kata seorang anggota MT ketika ditemui.

Pemimpin-pemimpin Umno menganggap polemik ini serba sedikit menjejaskan imej kerajaan dari kaca mata umum.

“Apa yang saya boleh sebut, rumuskan ialah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan melakukan sesuatu agar masalah seperti ini tidak lagi wujud, agar perkara ini tidak berterusan sebagai masalah peribadi” kata anggota itu lagi.

Sumber memberitahu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga menerangkan isu berkenaan ekoran taklimat yang diadakan untuk pegawai-pegawai kanan institusi pengajian tinggi Isnin lalu.

Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media bahawa Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin mengaitkan nama empat tokoh agama dan politik dengan fahaman wahabi dan kegiatan kumpulan pengganas JI.

Laporan itu mendakwa Zamihan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan yang menafikan ada menunjukkan gambar Hadi, Shahidan dan Juanda.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden parti itu.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Zamihan telah membuat laporan agar polis petang kelmarin agar melakukan siasatan terperinci bagaimana maklumat sulit boleh “dibocorkan” kepada pihak ketiga.

“Sebab kedua adalah atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan Saifuddin terhadap saya,” kata Zamihan.

Ulasan