Kepada siapa Tun M pesan jauhi pelampau agama

Ketika pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zin sedang berperang dengan Bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin kerana beliau mengaitkan Asri dengan Wahhabi dan Jemaah Islam (JI), Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengingatkan pendakwah Malaysia supaya menjauhi pengaruh ektrem.

Bernama melaporkan petang ini dengan mengutip Tun Mahathir sebagai berkata, pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.


Beliau berkata jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.

"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di Kangar hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.

"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.

Kepada siapakah Tun Mahathir mahu sampai nasihatnya ini? Sepatutnya siapa makan lada pasti terasa pedas. Tetapi perkara itu tidak terjadi di Malaysia. Pada saya ramai yang mempunyai pandangan ektrem di Malaysia dan semua mereka mahu menafikan hak orang lain mengeluarkan pandangan yang berbeza dan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka pula.

Seterusnya beliau berkata, menurut Bernama lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.

"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," katanya.

Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma.

Ulasan