KRISIS THAILAND TIADA JALAN KELUAR MUDAH

Nampaknya tiada jalan keluar mudah bagi krisis politik yang melanda Thailand kini sekalipun dibubar parlimen dan diadakan pilihan raya baru atau ditubuhkan kerajaan dengan cara lain menggantikan kerajaan
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva sekarang. Memang bubar parlimen dan mengadakan pilihan raya baru menjadi di antara perkara-perkara yang dituntut kumpulan Baju Merah yang dikenali de ngan nama rasmi Barisan Bersatu Demokrasi Untuk Menentang Kediktatoran (UDD). Kerana jika dibubarkan parlimen dan diadakan pilihan raya baru, Parti Puea Thai sokongan Baju Merah dijangka akan menang dalam keadaan sekarang dan jika ini yang berlaku Baju Kuning akan bangkit mengadakan tunjuk perasaan menentang pula. Thailand sudah lama terperangkap dalam putaran durjana ini.


Peta menunjuk kawasan-kawasan majoriti kumpulan Baru Merah di seluruh Thailand.

Kumpulan Baju Kuning pernah mengadakan mengadakan tunjuk perasaan lebih besar dan lebih dahsyat menentang kerajaan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra sehingga membawa kepada rampasan kuasa pada tahun 2006. Mereka mendapat sokongan banyak golongan di Bangkok seperti ahli akademik, usahawan, kelas menengah, golongan pro istana dan tentera. Mereka ini dikategori sebagai golongan amataya dalam bahasa Thai, yang bermaksud golongan tuan atau golongan burjuis atau golongan elit. Manakala kumpulan Baju Merah pula dikategorikan sebagai prai dalam bahasa Thai (mungkin berasal daripada pariah), yang bermaksud sahaya atau marhein atau orang bawahan.

Di sini bukan saja ada Baju Merah dan Baju Kuning, tetapi ada juga Baju Putih, Baju Merah Jampu (Pink) dan lain-lain. Semua kerja mereka adalah mengadakan tunjuk perasaan atas bermacam-macam sebab dan sebab yang paling utama ialah menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai dan ditentang oleh mereka.

Sebenanrya sebelum ada pelbagai kumpulan baju berwarna-warni ini pun, kerajaan Thai kerap diguling oleh tunjuk perasaan. Akibatnya jarang ada kerajaan di negara ini yang mampu memerintah sampai genap penggal.

Ada faktor lain menyebabkan negara ini kerap bertukar kerajaan, iaitu faktor rampasan kuasa. Bagaimanapun, ramai juga yang bersetuju dengan rampasan kuasa bila berlaku krisis besar yang tiada jalan keluar akibat puak-puak politik berperang sesama sendiri dengan menggunakan pergerakan massa (tunjuk perasaan dan rusuhan), sabotaj, serangan bom dan tembakan dan sebagainya. Ini juga yang dibangkit setengah pihak pada waktu ini kerana mereka menganggap tentera yang sangat berpengaruh itu saja yang mampu menyelesaikan masalah.

Tetapi pada pandangan saya rampasan kuasa bukan menjadi pilihan mudah pada waktu ini kerana tentera sendiri bermasalah. Dalam tentera sendiri ada tentera tembikai, iaitu kiasan bagi tentera yang pro atau simpati dengan Maju Merah. Kulit tembikai berwarna hijau itu adalah simbol kepada tentera yang secara rasmi melakukan tugas-tugas ketenteraan, tetapi hari mereka yang disimbolkan dengan isi tembikai berwarna merah itu bersama atau bersimpati dengan Baju Merah.

Ketimbangan tentera tembikai ini terdapat pula tentera nenas. Nenas adalah kiasan tentera yang menyokong Baju Kuning kerana kulit nenas berwarna hijau dan isinya berwarna kuning.

Dalam pada itu dalam kumpulan Baju Merah kini pun ada tentera termasuk tentera biasa dan tentera renjer yang telah bersara. Mereka inilah dikatakan melancarkan serangan bom dan menembak sasaran kerajaan,
bank-bank komersial, rumah-rumah orang ternama dan lain-lain di merata kota Bangkok dan wilayah-wilayah lain. Bagaimanapun, Baju Merah menafikan bahawa berpuluh-puluhan serangan itu ada kaitan dengan mereka. Sebaliknya mereka menuduh kerajaan yang melakukan perkara itu dengan tujuan untuk memburukkan imej mereka.

Sebenarnya serangan bom dan tembakan berlaku dalam kebanyakan tunjuk perasaan besar yang bertujuan menjatuhkan kerajaan termasuk tunjuk perasaan Baju Kuning.

Jika pergi lebih jauh berhubung istilah yang diguna pakai di sini kini, Baju Merah bermaksud progresif dan sosialis/komunis dan Baju Kuning pula konservatif dan pro raja. Maka dari sinilah datang dakwaan bahawa Baju Merah dan golongan-golongan di belakang mereka mahu melancarkan reformasi dan perubahan yang menyeluruh di negara ini di mana matlamat terakhirnya mencakupi penubuhan Republik Thailand. Jika
dakwaan ini betul, maka mungkin perjuangan Baju Merah melepasi kehendak Thaksin kerana Thaksin yang merupakan bilionawan itu jika dikategori menurut pengisilahan berkenaan adalah tergolong daripada
kaum burjius yang diperangi kaum marhein, progresif dan revolusioner.

Isu reformasi dan perubahan yang menyeluruh dalam negara inilah yang menjadi antara isu yang dimainkan oleh Parti Demokrat (DP) dan barisan pemimpin kerajaan dan pihak-pihak yang menentang Baju Merah bagi
menggerak rakyat supaya bangkit menentang Baru Merah.

Perlu diterangkan bahawa sebelum 10 April lalu kumpulan Baju Merah dan kerajaan Abhisit kelihatan sama-sama tidak mahu terlibat dalam kekerasan kerana tidak mahu dikutuk dan kecam oleh rakyat dan sekali
gus menyebabkan mereka hilang kuasa. Jika kerajaan Abhisit melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan Baru Merah, ia mesti kecundang.

Begitu juga Baju Merah di mana parti sokongan mereka, iaitu Parti Puea Thai milik Thaksin yang dikatakan akan menang pilihan raya akan datang mesti tidak ada peluang merebut kuasa balik jika mereka terlibat dalam kekerasan.

Itulah yang menyebabkan Baju Merah dan Abhisit sama-sama berhati-hati dalam segala langkah dan tindakan melaksanakan agenda politik masing-masing. Begitulah yang nampak pada permukaan.

Bagaimanapun, perkara tidak terduga berlaku pada 10 April lalu bila Abhisit mengarah tentera supaya mengusir para penunjuk perasaan Baju Merah daripada beberapa kawasan yang diduduki mereka di Bangkok. Pada hal tindakan itu tidak perlu kerana tunjuk perasaan ketika itu semakin mengecil dan ia akan berhenti atau sekurang-kurangnya menjadi reda dalam masa dua hari disebabkan pada 13 April adalah hari Songkran, hari menyambut Tahun Baru orang Thai beragama Buddha.

Selain itu Baju Merah juga kurang provokatif pada ketika itu kerana mereka tahu sejak dua minggu lagi bahawa pada 20 Aprlil Suruhanjaya Pilihan Raya Thai (SPR) akan memutuskan parti pemerintah, DP perlu
dibubarkan atas tuduhan menyalahgunakan sumbangan yang berjumlah 258 juta baht (RM25.8 juta) yang diterima daripada sebuah syarikat simen, TPI Polene.

Bagaimanapun, SPR membuat pengumuman pembubaran DP lebih awal pada 12 April demi barangkali untuk meredakan suasana tegang dalam negara dan mengurangkan penyertaan penyokong Baju Merah dalam tunjuk perasaan yang masih diteruskan.

Keputusan SPR ini akan dikuasakan dalam masa enam bulan atau satu tahun selepas melalui beberapa proses perundangan dan mendapat kelulusan Mahkamah Perlembagaan.

Biasanya Mahkamah Perlembangaan akan meluluskan keputusan SPR, tetapi ramai berkata kali ini berbeza dengan kes-kes pem bubaran parti pada masa lalu termasuk yang melibatkan pembubaran Parti Thai Rak Thai (Parti Thai Cinta Thai) yang dikini didaftar sebagai Parti Puea Thai (Parti Demi Thai). DP merupakan parti tertua negara ini dan ia kini berusia 64 tahun.

Sekiranya DP dibubarkan, semua ketua eksekutifnya diharam terlibat dalam politik selama lima tahun termasuk Abhisit. Selepas tragedi 10 April yang mengorbankan 23 dan lebih 800 cedera, semua pihak nampaknya kembali bertolak langsur dalam langkah dan tindakan yang perlu diambil, tetapi masih terus berperang mulut seperti biasa.

Sebagai contoh Baju Merah mengumpulkan orangnya di satu tempat, iaitu persimpangan Rajprasong dan meninggalkan semua penempatan-penempatan lain. Mereka juga membatalkan cadangan untuk menyerang berek tentera.

Tentera pula selepas masuk berek belum keluar sehingga kini kecuali untuk mengambil kenderaan dan senjata yang dirampas oleh Baju Merah. Mungkin dalam masa terdekat ini tentera tidak akan keluar untuk
mengusir penunjuk perasaan Baju Merah seperti 10 April lalu. Ini kerana melakukan tanggungjawab sedemikian termasuk dalam usaha-usaha untuk memberi perlindungan kepada Abhisit dan kerajaannya yang telah diputus oleh SPR perlu dibubar dan akan tumbang dalam masa beberapa bulan akan datant itu beririsiko tinggi dan boleh mencemarkan imejnya melebihi yang berlaku pada 10 April. Tentera pun kena bijak bermain politik dalam keadaan meruncing begini dan jika tidak, rosak imej dan reputasinnya. Itu barangkali menyebabkan ketua tentera General Anupong Paojinda menyaran pendekatan politik dan bubar parlimen untuk menyelesai krisis politik ini, Dalam keadaan begini tiada jalan keluar bagi Abhisit nampaknya kecuali membubarkan parlimen atau letak jawatan dalam masa yang terdekat ini.

Namun Abhisit mungkin ada sedikit peluang untuk selamat dalam erti kata hanya hilang jawatan perdana menteri tetapi terlepas dari hukuman tidak boleh terlibat dalam politik selama lima tahun serta parti
pimpiman beliau tidak perlu dibubarkan jika dapat diadakan rampasan kuasa dan membatalkan Perlembagaan sekarang. Tetapi di manakah suasana tegang yang boleh menyebabkan tentera melancarkan rampasan kuasa jika tragedi 10 April itu turut mendorong tentera menuntut dibubarkan parlimen?

Bagaimanapun, seperti disebut di mukadimah di atas, iaitu jika dibubar parlmen dan dapat kerajaan baru pun bukanlah bererti tiada tunjuk perasaan. Berbacam-macam kumpulan baju berwarna-warni sentiasa
bersedia menunggu untuk menjatuhkan mana-mana kerajaan yang bakal ditubuh. Baju Kuning yang kini sudah ada parti sendiri, Parti Politik Baru, paling berpotensi untuk melakukan tugas itu.

Ulasan