HUKUM KEMPEN DEDAH AIB LAWAN

Kempen pilihan raya kecil di Hulu Selangor telah sampai ke kemuncaknya kerana segala keburukan peribadi calon dan bukan calon telah didedah dan dilondeh. Kempen tidak bermoral bukan sahaja terkena kepada Datuk Zaid Ibrahim yang dituduh kaki arak, tetapi terkena juga kepada semua perdana menteri Malaysia kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana didakwa pernah minum arak belaka.

Datuk Zaid adalah kawan saya dan beliau adalah seorang ahli politik yang berpegang dengan prinsip, berani melawan arus, berfikiran progresif yang menyokong pembaharuan pemikiran. Pengakuan bahawa beliau pernah minum arak seperti dituduh perlu dipuji walaupun dianggap tidak perlu kerana jarang terdapat ahli politik yang mempunyai keberanian seperti itu. Bagaimanapun, pada saya penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat ( PKR) adalah langkah yang tidak tepat dan membunuh karjaya politiknya. Orang seperti beliau patut menubuh parti sendiri setelah meninggalkan UMNO dengan mengumpulkan golongan-golongan intelektual berfikiran terbuka seperti beliau atau sekurang-kuranganya bergerak dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan perjuangan kerana PKR dan orang-orangnya tidak sesuai dengan idealisme perjuangan beliau.

Dari segi hukum agama, sudah tentu mendedah keaiban peribadi orang tidak dibenarkan. Ayat al-Quran dan hadis amat jelas tentang perkara ini. Di antara ayat 19 daripada surah an-Nur dan beberapa hadis al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, at-Mizi dan lain-lain. Bagaimanapun, dikecualikan jika orang yang melakukan keaiban itu yang membuat pendedahan atau dia merupakan orang zalim yang melakukan kezimanan terhadap orang lain atau dia terkenal suka melakukan kejahatan. Dalam keadaan seperti ini boleh didedahkan keaiban untuk menyekat dan mencegah orang-orang seperti itu mengulangi melakukan kehajatan serta supaya jadi iktibar kepada masyarakat dan mengelak mereka berpengaruh dengan perbuatan jahatnya.

Cara kempen politik di Malaysia sama dengan cara kempen politik di Thailand. Tetapi isu yang digunakan berbeza. Jika di Malaysia yang disentuh adalah isu moral dan isu agama, tetapi di Thailand isu-isu seperti itu tidak begitu ketara digunakan. Maklumlah soal arak, judi, perempuan dan seumpamanya dianggap perkara biasa dan bukan isu besar. Justeru isu-isu yang mendapat tempat di sini adalah isu keselamatan, ekonomi, keadilan, hak politik dan sebagainya.

Kerajaan Perdana Menteri Abhisit Vejjachiva yang berada di hujung tanduk kini melabelkan kumpulan Baju Merah sebagai berbahaya. Didakwa mereka mengancam keselamatan negara dan raja disebabkan terdapat di kalangan mereka pengganas. Bekas Perdanba Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pula ditonjol sebagai bakal presiden Thailand dalam beberapa pelekat dinding yang ditampal di sekitar Silom (wilayah perdagangan yang dianggap sebagai Wall Streets Thailand).

Baju Merah pula ada cara kempen tersendiri dengan menggunakan slogan banteras golongan atasan yang melalukan kezaliman terhadap rakyat bawahan, menuntut keadilan, hak politik, kebebasan bersuara dan sebagainya.

Kempen negatif seperti ini bukan saja berlaku di Malaysia dan Thailand, tetapi berlaku di semua negara. Di negara-negara Arab di mana saya pernah tinggal selama 20 tahun di sana terdapat banyak fatwa dan hukum agama berbau politik dikeluarkan oleh ulama kerajaan dan pembangkang terhadap lawan masing-masing. Sesetengah fatwa dan hukum agama berbau itu sampai tahap mengkafirkan antara satu sama lain. Ini juga yang berlaku di Malaysia pada masa lalu.


Ulasan