Tidak Mencukupi Ada Ilmu Agama

Berlimu tidak mencukupi terutama dalam bidang agama kerana kita juga perlu ada pendekatan memahami ilmu dan pendekatan untuk melaksanakan ilmu itu. Dalam erti kata lain tidak mencukupi seseorang itu mengetahui syariah, tetapi dia juga perlu mengetahui fiqah tadbiq asy-syariah (فقه تطبيق الشريعة). Ini adalah persoalan pokok yang perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh para penuntut dan pengkaji Muslim. Tidak faham persoalan pokok ini menyebabkan berlaku kehilangan punca dan sesat dalam ilmu yang mengakibatkan pelaksanaan syariah tersasar daripada maqasid syariah atau matlamat hukum-hakam asal Allah yang universal dan menjadi rahmat dan nikmat kepada semua makhluk.


Bagaimanapun, untuk melaksanakan syariah atau melaksanakan hukum-hakam Allah yang universal itu biasanya ada sebab lain yang menyebabkan kita jauh tersasar kerana ramai di kalangan kita akan berhenti berfikir dan terkunci mulut bila ada ulama berhujah dengan fatwa atau hukum disebabkan mereka tidak dapat menilainya. Keadaan ini berlaku kerana ulama yang mengeluarkan fatwa atau hukum biasanya mereka tidak menyatakan bahawa apakah fatwa atau hukum mereka itu dicedok secara harfiah daripada Allah atau ia merupakan ijtihad mereka. Jika ia benar-benar dicedok daripada Allah secara harfiah seperti menyatakan hukum sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya adalah wajib, kita perlu menerimanya tanpa boleh berbeza lagi. Jika sebaliknya kita boleh menolak dan berbeza seperti dalam soal politik, ekonomi dan sebagainya yang tiada nas yang bersifat putus dan muktamad mengenainya.


Paling berbahaya bila terdapat fatwa atau hukum dikeluarkan oleh ulama politik atau ulama yang terlibat dalam politik atau ulama yang ada kepentingan dengan orang politik, sama ada dalam kerajaan mahupun dalam pembangkang. Ulama golongan ini sudah tentu tidak semua mereka bila mengeluarkan fatwa atau hukum tentang perkara-perkara yang ada kaitan dengan politik, mereka akan mengeluarkan fatwa atau hukum yang cenderung kepada pergerakan dan parti politik mereka.



Menurut takrif fiqah jika sesuatu fatwa atau hukum yang dikeluarkan oleh mana-mana ulama itu betul sekali pun kita dibenarkan memilih antara fatwa-fatwa atau hukum-hukum yang telah dikeluarkan mereka mengenai pelbagai masalah yang dimusykilkan. Ini kerana fatwa mengikut takrif fiqah adalah:

الإخبار بالحكم الشرعي من جهة لا تسطيع أن تلزم من أخبرته بسلطة القانون

وهي اجتهاد من صاحبها

"Pemberitahuan tentang hukum syarak dari pihak yang tidak boleh mengiltizamkan orang yang diberitahunya bahawa hukum berkenaan ada kuasa undang-undang (untuk dilaksanakan). Ia adalah ijtihad orang yang mengeluarkan fatwa itu."

Maksudnya hukum yang difatwa itu tidak wajib dilaksanakan kerana ia terserah kepada pertimbangan masing-masing.

Bagaimanapun, fatwa atau hukum yang dikeluarkan itu menjadi wajib dilaksanakan bila ia diterima atau dipilih oleh hakim/mahkamah atau pemerintah/kerajaan atau diwarta menjadi akta/undang-undang. Cuma hukum wajib di sini pun hanya bermaksud perlu dan mesti yang ada kuasa undang-undang untuk dikuasakan di dunia ini sahaja. Dalam erti kata lain ia bukan hukum wajib yang muktamad seperti hukum Allah seperti hukum wajib sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya. Jika kita menerima fatwa atau hukum itu bererti kita mengamal tepat dengan akta/undang-undang kerajaan. Sebaliknya jika kita menolak fatwa atau hukum berkeaan terutama sekali yang telah diwarta menjadi akta/undang-undang, kita boleh dikenakan tindakan undang-undang dunia, tetapi kita tidak dikenakan tindakan undang-undang akhirat. Kita hanya berdosa dengan kerajaan, tetapi tidak berdosa dengan Allah.

Ulasan