DAPAT TAWARAN TIGA PARTI POLITIK

Rasa gembira dan bangga sudah tentu tidak mungkin diperbahasakan dengan apa jua kata-kata di sini. Maklumlah baru beberapa bulan saja kembali ke tempat kelahiran saya, Resak (Ruso) alias Jabat sudah ada tiga tawaran daripada tiga parti politik Thai untuk menjadi calonnya dalam pilihan raya umum Thailand dan saya memilih parti yang paling besar dan dijangka akan menang dalam pilihan raya akan datang, iaitu Parti Peau Thai. Walaupun saya tidak berminat dengan politik, tetapi patut bagi saya mengubah arah dan membuat kerja yang lebih mencabar. Saya sendiri suka mencuba bidang kerja baru dan perkara-perkara yang mencabar yang tidak jauh dari bidang kerja asal.

Selain itu saya terpaksa terima tawaran itu kerana banyak sebab. Di antara sebab-sebab itu ialah:


Perhimpunan rakyat pada 3 Oktober 2009 memberi sokongan kepada Chavalit Yongchaiyudh menyelesaikan isu selatan Thailand

1- Saya kena ada tempat bergantung selain daripada Allah untuk terus tinggal di kampung halaman saya yang sedang bergelora kini. Ini bukan pula bererti ada tempat bergantung boleh menjaminkan keselamatan saya. Di sini saya seperti semua penduduk terutama kaum lelaki boleh menjadi mangsa terkena letupan bom atau ditembak setiap masa. Ramai kawan dan kenalan saya telah menjadi mangsa. Jadi ada tempat bergantung selain daripda Allah hanyalah sebagai usaha yang boleh memotivasikan diri untuk terus cekal hati dan kuat semangat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.


2- Permintaan orang ramai di kalangan penduduk. Mereka menganggap saya perlu tampil ke depan untuk membantu masyarakat kerana mereka percaya orang yang mempunyai pengelaman luar yang luas dan pernah terlibat dalam membantu kerajaan Malaysia pada zaman Tun Mahathir Mohamed boleh melakukan sesuatu yang berguna untuk umat Muslim di Thailand.

3- Saya ada rancangan untuk melaksanakan pendidikan moden di selatan Thailand dan kini saya telah mula meletakkan asas pendidikan berkenaan dengan membuka pusat pembelajaran pelbagai bahasa secara offline dan online serta mendigitalisasikan (smart school) Sekolah Nahdhatul Shubban, Pedau, Jabat secara berperinkat. Bila saya membawa saranan saya ini ke dalam mesyuarat politik pihak yang menawarkan kedudukan kepada saya, mereka berkata sepatutnya saya berfikir untuk menubuhkan sebuah universiti untuk umat Muslim Thailand. Lalu saya mengutarakan cadangan menubunuh universiti antarabangsa, Universiti Nusantara Antabangsa Thailand. Cadangan ini sudah pun diterima menjadi salah satu agenda sebuah parti dan diumum kepada masyarakat sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, untuk memang dalam pilihan raya nanti bukan perkara mudah kerana saya terpaksa bertanding dengan para ahli politik senior, yang sebenarnya saya juga pernah menjadi penyokong mereka. Selain itu saya pula tidak ada wang dan di Thailand kini faktor wang merupakan menjadi antara faktor utama untuk mendapat kemenangan dalam apa jua pemilihan termasuk pilihan raya. Dengan demikian, saya kini bercadang untuk bertanding sebagai calon party-list dan bukan calon open list. Kesimpulannya jalan saya untuk menduduki kerusi di parlimen masih jauh dan mungkin tidak berhasil kerana jika tidak ada kuasa lobi paling berpengaruh, saya tidak mungkin dibenarkan menjadi calon party-list.

Ulasan