BANYAK FAKTOR SELATAN THAILAND TERBAKAR

Walaupun kini kebanyakan serangan di selatan Thailand kini dilakukan oleh pejuang Muslim, tetapi sebenarnya terdapat banyak faktor menyebabkan wilayah majoriti Muslim ini terbakar. Selain faktor pejuang Muslim mengangkat senjata menentang kerajaan Thailand, ada pihak-pihak berkepentingan turut menjadi pelaku utama. Mereka ini tidak mahu selatan Thailand menjadi aman dan jika pejuang Muslim berhenti berperang pun, mereka akan mencipta suasana perang juga. Kedapatan di kalangan mereka ini ada kaitan dengan suasana kacau bilau politik di Bangkok yang berlanjutan seumpama satu rantaian yang tidak kunjung tamat itu.

Hakikatnya kawasan selatan Thailand sentiasa dijadikan kawasan untuk melaksanakan tawar menawar politik, menuntut kepentingan kewangan dan sebagainya. Sebagai contoh mahu goncangkan kerajaan di Bangkok umpamanya seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dibakar selatan Thailand. Perkara yang sama dilakukan pda masa lalu bila ada pemimpin Muslim menjadi menteri atau timbalan menteri. Begitu juga jika mahukan peruntukan dari kerajaan pusat, dibakar selatan Thailand. Kesimpulannya umat Muslim selatan Thai sentiasa dijadikan mangsa.
Ini tidak lagi termasuk segala kegiatan perdagangan haram seperti dadah, senjata, perempuan dan macam-macam yang menjadikan selatan Thailand sebagai laluan transitnya. Puak-puak ini menurut laporan perisikan turut menjadi punca utama selatan Thailand terbakar. Malah mereka juga yang membiayai banyak kegiatan serangan dan letupan bom.

Dengan itu bagi menjawab soalan sesetengah kalangan, apakah selatan Thailand boleh menjadi aman pada masa akan datang? Saya menjawab dengan terus terang bahawa keamanan sudah tentu boleh diwujudkan, tetapi mesti memakan masa yang lama. Kerana tiada masalah di dunia ini yang pasti kekal sebagai masalah tanpa penyelesaian. Bagaimanapun, kerana ada banyak faktor, maka tidak boleh diharap penyelesaian segera.

Dalam jangka pendek saya tidak nampak masalah selatan Thailand dapat diselsaikan. Malah saya tidak idealis dalam masalah keamamanan selatan Thailand ini walaupun saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk memujudkannya bila parti saya sertai memang dalam pilihan raya nanti.
Namun tidak aman atau ada masalah-masalah yang tidak dapat diselsai pun tidak patut dijadikan halangan untuk membina dan membangunan. Itu prinsip saya. Itu juga yang menyebabkan saya kembali kepada sumpah saya dan menolak untuk terus bekerja di Malaysia walaupun bergaji besar.

Ya, lihatlah bangsa Palestin yang menjadi antara bangsa yang paling baik dan bijak dalam pendidikan adalah kerana di Palestin tidak aman dan ada banyak masalah yang belum dapat diselsaikan walaupun sudah dapat autonomi. Malah membaca sejarah Jepun, Eropah dan Amerikca Syarikat (AS) sebelum menjadi maju kini adalah juga pernah susah dan dilanda perang berpanjangan juga.

Saya fikir perlu mengubah segala masalah dan perang yang ada di selatan Thailand menjadi faktor positif boleh menggerak dan merangsang anak-anak muda supaya lebih berusaha dan tekun dalam pembelajaran dan pembangunan ekonomi.

Dari segi pembelajaran walaupun masih jauh ketinggalan berbanding orang Thai di sebelah atas, orang Malaysia, orang Singapura, orang Indonesia dan lain-lain, tetapi ada perubahan yang jelas berbanding beberapa dekat lalu. Baru-baru ini sebuah TV Thai dalam tinjaun rambangnya merumuskan bahawa 65 peratus orang selatan Thailand melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan kebanyakan mereka menuntut di Universiti Ramkamhaeng di Bangkok. Kebanyakan mereka dapat belajar sehingga tamat. Manakala orang Thailand dari utara mencatat 40 peratus saja di kalangan mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ramai di kalangan mereka tidak tamat belajar. Peratusan penduduk sebelah timur yang melanjut pelajaran ke peringkat universiti lebih rendah, kata laporan itu.
Ini satu perkembangan yang baik. Saya percaya jumlah pelajar universiti akan bertambah dengan banyak pada beberapa tahun akan datang jika faktor ekonomi yang ada kecenderungan untuk pulih kini ekoran permintaan getah di pasar dunia meningkat.

Kerana serangan dan perang juga menyebabkan kerajaan memberi perhatian kepada selatan Thailand kini. Dulu dibiar dan dianaktirikan. Tetapi kini diberi perhatian dan dimanjakan dengan pelbagai projek pembagungan, ada yang bersifat gula-gula dan ada yang benar-benar jujur dan serius.

Dengan itu apa yang saya fikir perlu dilakukan oleh bakal kerajaan yang akan ditubuh oleh Parti Puea Thai dalam beberapa bulan akan datang adalah bekerja dalam masalah dan suasana tidak aman dengan terus membangun selatan Thailand dari segi pendidikan dan ekonomi tanpa menunggu keamanan dipulihkan. Ini kerana selagi mana Bangkok terus bergelora seperti sekarang serta golongan-golongan berpentingan dan puak-puak saudagar dadah, senjata dan perempuan dibiarkan terus bermaharajalela, selatan Thailand akan pasti terbakar juga walaupun pejuangan Muslim melaksanakan gencatan senjata dan berhenti berperang.
Tumpuan saya jika dipilih dan berjaya dalam pilihan raya adalah pendidikan ummah dengan menubuhkan Universiti Nusantara Antarabangsa, yang berteraskan budaya tiga etnit: Melayu, Siam dan Cina. Universiti Nusantara Antarabangsa bakal ditubuh di tanah seluas beribu-ribu hektar di Nakhorn Patani (Negeri Patani) yang dicadang oleh Chavalit Yongchaiyudh.

Universiti Nusantara Antarabangsa mengandungi sebuah universiti induk dan lima universiti jaringan di lima wilayah selatan Thailand.

Nakhorn Patani merupakan bandar baru yang akan ditubuhkan di tiga daerah dalam tiga wilayah selatan Thailand. Ia adalah Ruso (Resak) dalam wilayah Narathiwat, Raman (Kabu) dalam wilayah Yala (Jala) dan Kapho dalam wilayah Patani. Selain Universiti Nusanatara Antarabangsa, sebuah masjid terbesar di Asia akan didirikan di Nakhorn Patani. Chavalit akan membuat pengumuman tentang bentuk dan pelan pembangunan Nakhorn Patani dalam satu seminar yang akan diadakan di Yala pada 7 Februari ini.

Ulasan