HARI JADI DAN KETUAAN


Kerana tidak pernah sakit kecuali sakit gigi, sakit perut, demam selsema dan seumpanya serta tidak mengalami sebarang kelemahan fizikal menyebabkan saya kurang memahami erti tua dengan sepenuhnya. Jika tidak kerana angka usia bertambah banyak, anak-anak sudah besar, bentuk fizikal badan telah berubah dan sebagainya mungkin kesibukan dan keseronokan kerja masih terus melenakan saya dan tidak sedar bahawa diri kini benar-benar sedang menuju ke alam ketuaan kerana hari ini(15/12/2007) saya berusia 54 tahun.

Wow, sekejap saja rasanya saya datang menetap di Malaysia walaupun sebenarnya sudah lama, iaitu sejak tahun 1997 lagi.

Saya tidak berasa janggal untuk menjadi orang tua kerana sebagai penulis yang terlibat dalam membahas isu-isu pemikiran Islam perlu berusia, matang pemikiran dan banyak pengalaman di samping mantap ilmu pengetahuan. Jika tidak tua, tugas dan kerja seperti itu tidak dapat dilakukan dengan lebih sempurna. Saya sentiasa menyedia dan mempersiapkan diri untuk menjadi begitu walaupun ketika masih berusia muda.

Sebenarnya saya juga sudah lama saya berfikir secara orang tua, iaitu ketika mula terlibat dalam penulisan sejak tahun 1983 lagi. Kerana ketika di Maghribi, selain suka membaca dan berbincang dengan orang Arab, sama ada dalam perjumpaan setiap Sabtu mahupun ketika bertandang ke rumah kawan-kawan, saya banyak menghabis masa di perpustakaan-perpustakaan tertua di Rabat, Maghribi jika tidak belajar dan mengajar di sekolah Arab.

Bagaimanapun, ketika saya bersama Utusan Malaysia selama 19 tahun, ramai pembaca yang kenal saya melalui penulisan dan tidak pernah melihat saya menyangka saya macam orang tua kerana mempunyai penampilan tua seperti memakai serban, jubah dan sebagainya. Salah seorang pengikut Pas yang fanatik di Utusan yang enggan pun bersalam dengan saya kerana dia marah saya mengritik Mursyid Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disangka ramai orang sebagai Astora Jabat. Dia memang kelihatan tua kerana berserban dan berjanggut putih.

Bagi ramai orang muslim di Malaysia, penulis yang terlibat dalam penulisan agama mesti tua atau sekurang-kurangnya kena pakai kupiah atau serban serta dipanggil ustaz walaupun masih muda. Jika tidak, mereka berasa tak yakin.

Ketika saya sangat aktif menyampai ceramah dulu, saya pun selalu dengar hadirin berkata, oh Astora ini muda orangnya. Pada hal ketika itu saya sudah berusia 45-50 tahun. Hal itu menyebabkan saya berfikir bahawa berusia menjadi salah faktor penting bagi orang yang membincang tentang isu-isu agama.

Memang tidak salah pun jika ramai orang mengambil kira faktor usia walaupun tidak semestinya orang berusia dalam ilmu dan berfikir matang. Ini kerana orang muda walaupun ada banyak ilmu, tetapi kerana tidak cukup pengalaman dan kurang matang pemikiran, dia biasanya tidak boleh menyampai ilmu dengan sempurna atau seimbang. Banyak contoh yang dapat kita melihat pada hari ini. Sebagai contoh dalam beberapa perkara kita dapat melihat ilmuan muda dapat berbincang dengan bagus dan ilmiah sekali. Tetapi banyak perkara yang lain pula kita tampak dengan jelas dia meraba-raba, tidak jelas, keliru dan jauh dari yang dikehendak Islam.

Punca kerana dia sebenarnya belum sampai ke mana dalam kelimuan dan buku yang dibaca dan dikaji pun bukan menyeluruh mencakupi kebanyakan displin ilmu agama. Selain itu bersifat satu hala dan dalam aliran yang sama pula.

Dengan itu dia dilihat hebat bila berbincang tentang isu-isu agama tertentu kerana ciklak pandangan dan kajian orang. Tetapi dalam isu-isu agama lain, dia menunjukkan kelemahan yang jelas, tidak faham dan bercelaru kerara kajiannya belum sampai ke mana dan tidak dapat dibandingkan ulama ahli akademik yang sudah mantap dan mampan dalam ilmu kerana faktor usia, pengelaman (lebih luas) dan kajian (lebih luasa).

Jika kita menggali sejarah ulama dahulu dan sekarang, kita dapati bahawa mereka bermula sebagai ilmuwan biasa dan tidak dikenali sebagai ulama kecuali selepas berusia lebih 40 dan 50 tahun ke atas serta ada banyak karya berupa buku atau kitab bermutu.

Begitu juga Allah tidak mengutuskan kebanyakanya nabi dan rasul-Nya untuk membimbing umat manusia kecuali bila mencapai usia 40 tahun. Kita dapat melihat di sini bahawa walaupun Allah mampu melakukan segala-galanya, tetapi Ia tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan tabiat dan fitrah berhungan perutus para nabi dan rasul ini.

Ulasan