Ketika gelombang tunjuk perasaan anti-kerajaan di Iran semakin memuncak dan tekanan antarabangsa kian meningkat, institusi keagamaan negara itu dilihat masih gagal menangani krisis legitimasi yang kini menjejaskan teras Republik Islam Iran.
Tunjuk perasaan yang bermula di Tehran bulan lalu telah merebak ke kesemua 31 wilayah Iran. Namun begitu, ia masih belum mencapai tahap rusuhan besar seperti yang berlaku pada tahun 2022 dan 2023, susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan atas tuduhan melanggar peraturan pemakaian Islam.
Tunjuk perasaan kali ini bermula daripada peniaga di Bazaar Besar Tehran yang marah terhadap kejatuhan mendadak nilai mata wang tempatan. Tidak lama kemudian, ia menarik penyertaan lebih ramai rakyat, kebanyakannya golongan muda. Keadaan ini berbeza dengan tunjuk perasaan isu Mahsa Amini, yang ketika itu menyaksikan peranan besar wanita dan remaja perempuan.
Kini sekurang-kurangnya 34 penunjuk perasaan dan empat anggota keselamatan terbunuh, manakala sekitar 2,200 orang ditahan sejak rusuhan bermula.
Penganalisis menyifatkan angka ini sebagai petunjuk jelas terhadap kekecewaan yang semakin mendalam terhadap pemerintahan institusi Syiah di Iran.
Hampir lima dekad selepas Revolusi Islam Iran 1979, para pemimpin agama Iran terus berkuasa dengan bersandarkan satu konsep politik–keagamaan yang unik dalam tradisi Syiah, iaitu wilayah al-faqih (wilāyat al-faqīh). Konsep ini meletakkan seorang faqih atau ulama tertinggi sebagai pemegang kuasa mutlak negara, dengan kedudukan sebagai wakil kepada Imam Mahdi yang diyakini sedang berada dalam keadaan ghaib menurut akidah Syiah Imam Dua Belas.
Melalui doktrin ini, kekuasaan politik tidak lagi berpunca daripada mandat rakyat semata-mata, tetapi dianggap sebagai amanah ilahi yang diwakilkan kepada golongan ulama.
Justeru, pemimpin tertinggi negara bukan sekadar ketua politik, malah berfungsi sebagai autoriti agama tertinggi yang menentukan hala tuju negara dalam bidang perundangan, ketenteraan, keselamatan, dasar luar, media dan ideologi.
Dalam struktur ini, institusi-institusi negara yang dipilih melalui pilihan raya tetap wujud, namun kuasa sebenar berada di bawah pengawasan dan kelulusan pemimpin agama tertinggi.
Dalam konteks sejarah moden umat Syiah, sistem pemerintahan seperti ini merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum abad ke-20. Sepanjang sejarah klasik Islam, ulama Syiah kebanyakannya mengambil sikap menjauhkan diri daripada kuasa politik, menunggu kemunculan Imam Mahdi sebagai pemerintah sah. Oleh itu, Republik Islam Iran sering dianggap sebagai kerajaan agama Syiah pertama dalam era moden, yang menginstitusikan peranan ulama secara langsung dalam pentadbiran negara dan pemerintahan harian.
Namun, pengalaman hampir lima puluh tahun ini juga memperlihatkan pelbagai ketegangan dan cabaran. Antaranya ialah konflik antara legitimasi agama dan kehendak masyarakat, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada nilai global, kebebasan individu dan tuntutan ekonomi.
Apa yang pada asalnya dilihat sebagai projek “kerajaan Islam” bagi menentang imperialisme dan kezaliman, kini oleh sebahagian rakyat dianggap sebagai sistem yang membataskan kebebasan dan gagal memenuhi keperluan hidup moden.
Dalam kalangan umat Sunnah pula, pengalaman menubuhkan kerajaan agama secara terbuka dan formal dalam era moden boleh dikatakan bermula dengan kemunculan pemerintahan Taliban di Afghanistan.
Berbeza dengan konsep wilayah al-faqih yang berteras teori fiqh dan hierarki ulama Syiah, Taliban muncul daripada latar tradisi madrasah Deobandi dan pengalaman perang gerila, dengan pendekatan yang lebih literal, konservatif dan berorientasikan penguatkuasaan hukum menurut tafsiran mereka sendiri.
Kerajaan Taliban tidak mendakwa mewakili tokoh ghaib seperti Imam Mahdi, tetapi tetap mengangkat legitimasi agama sebagai asas mutlak kekuasaan. Ulama dan pemimpin agama memainkan peranan dominan dalam menentukan undang-undang, moral sosial dan struktur pemerintahan, manakala ruang perbahasan awam, kepelbagaian pandangan mazhab dan kebebasan individu amat terhad.
Menariknya, kedua-dua model – wilayah al-faqih di Iran dan pemerintahan Taliban di Afghanistan – walaupun lahir daripada tradisi mazhab yang berbeza, berkongsi satu persamaan besar: usaha menterjemahkan autoriti agama secara langsung ke dalam struktur negara moden. Percubaan ini menimbulkan persoalan besar dalam dunia Islam hari ini, antaranya sejauh mana agama wajar dijadikan kuasa negara, bagaimana menyeimbangkan antara kesucian agama dan realiti politik, serta apakah akibat apabila tafsiran agama tertentu dimutlakkan melalui kekuasaan.
Pengalaman Iran dan Taliban akhirnya menjadi cermin dan peringatan kepada umat Islam secara keseluruhan bahawa membina “negara agama” bukan sekadar persoalan niat dan slogan, tetapi melibatkan implikasi besar terhadap keadilan, kebebasan, perpaduan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.

Ulasan