Astora Jabat tanding p'raya Thailand

Oleh Abdul Rahim Sabri






Bekas penulis kontroversi Utusan Malaysia Astora Jabat akan bertanding dalam pilihan raya Thailand atas tiket Parti Harapan Baru (NAP) yang dinaungi bekas perdana menteri Jeneral Chavalit Yongchaiyud pada 3 Julai ini.

Astora akan bertanding di parlimen Ruso/Jabat, Si Sakhon, Yingor dan Bachok - empat kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat, di Selatan Thai.

"Saya diberi tawaran oleh Jeneral Chavalit kerana melihat jasa saya dalam bidang kewartawanan dan menolong bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi perdana menteri.

"Beliau (Chavalit) kata kepada saya, kalau awak tolong (orang) di Malaysia, kenapa tidak boleh tolong (orang) di sini," kata Astora ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Astora - bekas ketua pengarang agama Utusan dan Al-Islam - berkata menghadapi persaingan enam penjuru dengan tiga daripadanya dijangka memberi tentangan sengit.

Ditanya peluangnya untuk memenangi kerusi tersebut, Astora berkata beliau "tidak takut dan tidak bermasalah" kerana mendapat sokongan meluas di Ruso dan kawasan sekitar dalam wilayah tersebut.

"Saya ada sekolah sendiri, sekolah untuk orang Melayu... Saya mempunyai ramai ahli keluarga dan kaum kerabat terdekat di Ruso," katanya.

Lebih 40 parti akan turut serta dalam pilihan raya Thailand kali ini. Parti Pheu yang dianggotai Yingluck Shinawatra - adik bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra turut mencuba nasib.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi politik di Selatan negara itu, Astora berkata rata-ratanya penduduk masih dalam ketakutan dan terancam keselamatannya ekoran sering berlakunya kejadian tembak.
 
*Dipetik daripadada Malaysiakini dengan sedikit pembetulan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
semuga usaha tuan dirahmati