Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak apabila India mengumumkan telah melancarkan serangan udara ke atas sembilan sasaran di wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan hari ini (7 Mei 2025), sebagai tindak balas terhadap serangan militan baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa India, serangan itu menyasarkan lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat beroperasi kumpulan pengganas yang berpangkalan di Pakistan. Sementara itu, tentera Pakistan melaporkan bahawa tiga lokasi telah menjadi sasaran serangan, yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya lapan orang.
Letupan besar menggegarkan kawasan Muzaffarabad, ibu negeri wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, mengejutkan penduduk setempat pada awal pagi. Rakaman dan laporan dari lapangan menunjukkan kesan kemusnahan yang ketara di beberapa lokasi.
Di pihak India pula, pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiga orang awam terbunuh akibat tembakan artileri dari pihak Pakistan di kawasan sempadan yang ditadbir India. Serangan itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden serangan militan ke atas pelancong India di Pahalgam bulan lalu, yang menyebabkan beberapa kematian.
Kerajaan India mendakwa memiliki bukti kukuh yang mengaitkan penglibatan kumpulan pengganas berpangkalan di Pakistan serta elemen luar dalam serangan berkenaan. Namun begitu, kerajaan Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan menuduh India cuba mengalih perhatian daripada isu dalaman.
Wilayah Kashmir yang menjadi punca pertikaian utama antara India dan Pakistan sejak pembahagian India pada tahun 1947. Kedua-dua negara mendakwa mempunyai hak ke atas Kashmir dan menolak memberi hak penentuan nasib sendiri atau kemerdekaan kepada wilayah Muslim itu.
Konflik bersenjata dan pemberontakan berpanjangan di rantau ini telah meragut puluhan ribu nyawa sepanjang beberapa dekad lalu, dan ketegangan terus berlarutan tanpa penyelesaian yang muktamad.
Ulasan