Astora bertanding Pilihan Raya Umum Thailand

KOTA BHARU 6 Jun - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau nama penanya, Astora Jabat (gambar) mengesahkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Thailand atas tiket Parti Harapan Baru (NAP) yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud.


Astora yang berkhidmat dengan Kumpulan Utusan sehingga 2007 dan pernah menjadi Pengarang Agama Utusan Malaysia dan majalah Al-Islam akan bertanding di Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand.

Beliau yang berasal dari kawasan Parlimen itu berkata, keputusannya untuk bertanding pada pilihan raya tersebut dibuat selepas bertemu dengan Chawalit di Bangkok baru-baru ini.

"Saya diberi tawaran oleh Chawalit untuk bertanding. Beliau menjemput saya, beliau mencari saya sudah lama kerana tahu pengalaman saya di luar negara dan tempatan memang banyak. Beliau panggil saya ke Bangkok, saya bertemu dengannya dan terus mengisi borang menjadi ahli NAP dan borang pencalonan untuk bertanding di kawasan empat iaitu Narathiwat.

"Masyarakat Islam di selatan Thailand tiada tempat bergantung, kalau tiada tempat untuk menumpang orang Melayu di sini, susah untuk menempuh kehidupan. Pengalaman yang saya miliki di luar negara terutama ketika berada di Utusan Malaysia akan membantu saya untuk menyelesaikan masalah di sini," katanya ketika dihubungi akhbar ini hari ini.

Bekas wartawan itu dijangka menghadapi persaingan enam penjuru dengan tiga daripadanya dijangka memberi tentangan sengit pada Pilihan Raya Umum Thailand yang akan diadakan pada 3 Julai ini.

Astora berkata, keputusannya untuk menyertai pilihan raya tersebut adalah langkah pertamanya untuk menyertai politik bagi membela nasib penduduk di kawasan tersebut.

"Ini adalah persiapan saya kerana kerajaan yang akan ditubuhkan di negara ini (Thailand) tidak akan bertahan lama, paling lama dua tahun dan akan ada pilihan raya baru. Sekarang adalah persiapan awal untuk sertai pilihan raya akan datang, pilihan raya sekarang adalah untuk memperkenalkan diri kepada rakyat kerana saya masih baru dalam bidang ini," katanya.

Beliau bagaimanapun percaya masih berpeluang untuk mencipta kejutan pada pilihan raya tersebut kerana pengalaman dan ilmu yang dimilikinya boleh membantu masyarakat di wilayah tersebut.

"Saya mempunyai peluang di situ (Narathiwat) sebab ada orang yang sukakan ilmu, intelektual dan pengalaman. Saya ada sekolah sendiri, kelas fardu ain dan bahasa Melayu untuk anak-anak yang belajar di sekolah Thailand dan mengaji kitab untuk orang dewasa selain mempunyai kaum keluarga yang ramai di sini," katanya yang menyertai debat dengan tujuh calon pilihan raya di sebuah universiti di Yala kelmarin.

Pengarah Pilihan Raya Narathiwat, Muhammad Ismail ketika dihubungi telah mengesahkan menerima borang pencalonan daripada Astora.

Ulasan

Wake UP! berkata…
Salam. Tahniah bro. Semoga Allah memberikan kejayaan kepada bro.