RAJPRASONG DIKUASAI TENTERA, DUA PEMIMPIN BAJU MERAH SERAH DIRI

Puak Baju Merah menamatkan tunjuk perasaan di Rajprasong pada jam 1.35 (2.35 waktu Malaysia) di mana salah seorang pemimpin mereka, Nattawut Saikum mengisytiharkan di atas pentas tunjuk perasaan terpaksa dihentikan kerana bimbang berlaku pembunuhan lebih ramai. Beliau berkata, beliau akan menyerah diri kepada pihak polis.


Bagaimanapun, para penunjuk perasaan yang berada depan pentas menyatakan mereka tidak bersetuju dan menyatakan bantahan mereka dengan memekik dan berteriak. Ada di kalangan memaki Nattawut kerana tidak puas hati.

Seorang lagi pemimpin Baju Merah, Chatuporn Prompan pula mendahului Nattawut menyerah diri kepada polis.

Babak terakhir di Rajprasong ini dapat ditontoh melalui tv Internet kumpulan Baju Merah. CNN dan beberapa tv Thai turut menyiarkan siaran langsung tv Internet Baju Merah itu.

Beberapa minit kemudian Nattawut berada di tangan polis dan beliau diberi peluang memberi ucapan kepada pengikutnya yang turut berada di situ. Ucapan beliau disiar melalui tv dan radio Thai. Beliau dengan bersemangat berkata perjuangan kumpulan Baju Merah belum selsai dan perlu diteruskan dengan cara lain pula. Menurut Nattawut, beliau kini berada di tangan polis kerana perlu perlindungan daripada mereka. Beliau menyeru supaya semua pengikutnya supaya kembali ke kampung masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan Baju Merah di kawasan-kawasan lain terus bertempur dengan tentera. Mereka terus menerus membakar tayar, membakar bas, membakar pusat beli belah Central World, membakar bank dan lain-lain.

Manakala di luar Bangkok pula rusuhan dan sobotaj berlaku di beberapa wilayah majoriti Baju Merah.

Ramai pemerhati di sini percaya Baju Merah akan menggunakan cara perang bawah tanah untuk meneruskan perjuangan mereka selepas tunjuk perasaan yang dibenarkan mengikut undang-undang berubah menjadi pertempuran dengan tentera.

Ulasan