ASAARI GHAIB DAN IMAM MAHDI AS-SUHAIMI

Berita al-Marhum Asaari Muhammad (meninggal pada 13 Mei 2010) dianggap ghaib dan akan muncul semula tidak mengejutkan ramai orang termasuk saya kerana masyarakat sedar bahawa kumpulan al-Arqam masih tidak berubah walaupun ramai ahli telah insaf dan keluar meninggal kumpulan itu.

Jika ambil kira kata-kata salah seorang pengikut Asaari yang telah insaf dan juga bekas penasihat undang-undangnya, Zabidi Mohamed dalam bukunya yang tertajuk 'Tersungkur Di Pintu Syurga'kita akan mengetahui bahawa penjara pemikiran yang dibina Asaari amat kukuh dan susah bagi banduan-banduan yang terpenjara di dalamnya untuk membolos diri dan keluar menyedut oksigen pemikiran kebebasan.

Cuba berhatikan kata-kata Zabini ini. "Kerana taksub melulu kami kepada Ustaz Asaari, kami mempercayai 'mainan kerohanian'nya tanpa banyak soal periksa. Kami ketepikan peranan akal kami, walaupun di peringkat awal telah timbul banyak keraguan kepada mainan kerohanian Ustaz Asaari itu. Taksub kami yang melulu dan kejahilan kami telah memerangkap diri kami sendiri.

''Taksub kami kepada Ustaz Asaari telah menjadikan kami buta. Buta mata dan buta hati. Saya dan pemimpin-pemimpin Al-Arqam yang lain turut sama bersalah kepada agama Allah yang suci ini. Begitu juga kami rasa berdosa yang amat sangat kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w kerana taksub kami kepada pemimpin kami secara tidak sengaja telah merendahkan martabat kerasulannya.''

Selain dari kenyataan Zabidi, saya juga pernah berbincang dengan ramai bekas pengikut al-Arqam yang telah insaf dan taubat dan mereka menyatakan lebih kurang sama seperti jelas penasihat undang-undang Asaari di atas.

Justeru bila muncul dakwaan Asaari ghaib dan akan kembali semula ke dunia ini, terfikir saya kepulangannya sebagai apa! Imam Mahdi? Tidak mungkin. Kenapa? Kerana Imam Mahdi versi Asaari adalah Syeikh Muhammad al-Suhaimi.

Ramai masih Pemuda Bani Tamim dan pemuda legenda orang al-Arqam bukan orang lain tetapi Asaari. Dialah yang menjadi imam atau pemimpin di dunia ketika ghaibat al-imam, iaitu keghaiban imam atau pemimpin yang dimaksudkan Syeikh al-Suhaimi yang hilang dan belum muncul sebagai Imam Mahdi.

Jadi Asaari yang menjadi imam atau pemimpin mengganti Syeikh al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi di dunia. Tetapi masalah sekarang ialah Asaari meninggal dan kedudukan dulu sepatutnya berubah kecuali jika ditafsirkan bahawa dia terus menerus juga menjadi Pemuda Bani Tamim dalam kubur dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi, iaitu Syeikh al-Suhaimi.


Bermacam-macam karut-marut pemikiran berkaitan agama akan dicipta kini untuk meneruskan survival kumpulan al-Arqam dan selepas ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan-jabatan agama lain mesti kerja kuat pula untuk berhadap dengannya.

Isu Imam Mahdi menjadi masalah kepada umat Muslim sepanjang zaman kerana sentiasa orang yang muncul mengaku sebagai penyelamat akhir itu kerana sebab bermacam-macam kepentingan termasuk puak politik. Di negara-negara Arab terdapat pergerakan-pergerakan Mahdi kerana pemimpin mendakwa atau didakwa pengikutnya sebagai Imam Mahdi seperti yang terjadi di Sudan. Ada juga pemimpin negara yang ditonjol kalangan tertentu terutama penulis sebagai Imam Mahdi seperti Presiden Anwar Sadat dan Presiden Saddam Hussein. Ada juga orang gila yang mendakwa diri menjadi Imam Mahdi.

22 tahun saya menulis tiga rencana yang disiarkan tiga hari berturut dalam Utusan Malaysia pada 18-20 Oktober 1988 menafikan kewujudan Imam Mahdi kerana tidak disebut dalam al-Quran dan hadis yang sahih lagi mutatir,

Ketiga-tiga tulisan itu merupakan hasil kajian saya serta pengalaman benar dengan orang yang mendakwa menjadi nabi dan Imam Mahdi di Mesir.

Kesimpulannya ketiga-tiga tulisan itu ialah segala kepercayaan tentang kemunculan Imam Mahdi adalah kesan daripada pengaruh khurafat orang Syiah yang diambil daripada budaya agama Yahudi berhubung dengan konsep penyelamat hari zaman, Messiah atau al-Masih.

Saya beberapa pandangan ulama dan cerdik pandai agama dulu dan sekarang yang tidak percaya tentang kemunculan Imam Mahdi seperti Ibnu Khaldun, Dr Abdul Mun’im an-Namer, Syeikh Abdullah bin Zaid, Abul A’ala al-Maududi dan lain-lain.

Konsep ini masuk menjadi pegangan golongan Ahlis Sunnah melalui Syiah dan hadis-hadis rekaan.

Ulasan