ADAT TUJUH LIKUR DALAM MASYARAKAT PATANI DI SELATAN THAILAND HAMPIR PUPUS




Kemajuan dan fahaman agama sempit yang tidak mahu membeza antara perkara agama dan adat menyebabkan banyak adat orang Melayu Patani yang baik dan tidak bercanggah dengan akidah Islam semakin hilang dari masyarakat.

Alhamudillah adat nenek moyang orang Melayu Patani membina pintu gerbang pada 10 hari terakhir Ramadhan kembali hiduo semula dan ia dilaksanakan secara besar-besaran melebihi tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya. Ia merupakan kebangkitan adat yang melambang jati diri sama seperti pemakaian baju Melayu yang kini menjadi trend masyarakat Melayu Patani terutama di kalangan anak muda.



Tradisi membina pintu gerbang walaupun diamal juga di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, tetapi mungkin motifnya tidak sama, tidak semeriah dan tidak menyeluruh seperti yang diamal dalam masyarakat orang Patani di tiga wilayah selatan Thailand.


Selain itu masyarakat Melayu Patani pula membina pintu gerbang pada 10 hari terakhir Ramadhan sahaja dan dilakukan sebagai acara tetap setiap tahun.

Ada satu lagi kebiasaan 10 hari terakhir Ramadhan diamalkan dalam masyarakat Melayu Patani yang hampir terhakis, iaitu pemasangan pelita minyak tanah dan jamuan pada malam tujuh likur.



Tujuh likur bermaksud hari ke 27 Ramadhan kerana likur adalah hari antara hari ke 20 dan hari ke 30 Ramadhan. Hari ke 21 itu dipanggil satu likur dan 27 itu dipanggil tujuh likur. Ia merupakan hari istimewa kerana dipercayai ia adalah malam Lailatul Qadar.

Zaman saya budak-budak dulu ada orang-orang tua di kampung menyediakan jamuan makanan macam kenduri kecil dijemput pemimpin agama masyarakat membaca doa dan orang kampung berbuka puasa pada malam lebih baik daripada 1,000 malam itu.

Saya dengan kekawan pula memasang pelita minyak tanah pada malam tujuh likur di jalan masuk-keluar kampung. Malah kami juga memasang pelita di atas masjid al-Jumiah Jabat atau Masjid Pusat Jabat dan di sekeliling pagarnya.

Kini masjid al-Jumiah tidak lagi dihiasi dengan lampu tanah, tetapi dihiasi dengan lampu seperti dalam gambar di bawah.





Ulasan