DULU UMNO KAFIR, KINI AMANAH PULA KAFIR: Penjelasan hukum kafir amalan dan kafir pegangan




UMNO nampaknya terlepas daripada politik pengkafiran dicap sebagai kafir, syirik dan jahiliah oleh para pemimpin Pas yang bergelar ulama dan tuan guru selepas parti berlabel Islam itu membuat keputusan untuk bekerjasama dengan parti terbesar orang Melayu itu.
Bagaimanapun, politik pengkafiran masih tidak terhapus daripada Pas juga, tetapi ia hanya beralih arah dan ditujukan pula kepada parti serpihannya, iaitu Parti Amanah Negara.

Pengerusi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menggesa pemimpin-pemimpin PAS supaya berhenti memanggil ahli Amanah sebagai kafir kerana ia tidak memberikan sebarang kebaikan, lapor akhbar Mstar, 9 November 2015.

Beliau yang merupakan bekas Timbilan Presidin Pas itu memberi beberapa contoh kejadian semasa di pelbagai negara Islam seperti Afghanistan, Syria, Somalia dan Iraq yang dilihat menjadi contoh terbaik perbalahan yang membawa kepada kemusnahan.


"Mereka adalah umat Islam yang beriman dan mempunyai kepercayaan yang sama tetapi kerana perbezaan fahaman politik, mereka berakhir dengan berlawan satu sama lain, dan saya mendoakan ini tidak akan berlaku di Malaysia," katanya.




Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan menerusi status Facebooknya, 11 November 2015 mempersoalkan: Pas kata ahli Parti Amanah Negara (Amanah) kafir?


Beliau yang menganggap tuduhan itu serius juga menuntut jawapan siapa, bila dan di mana kenyataan tersebut dikeluarkan.

‘Pas kata ahli Amanah kafir? Siapa? Bila? Di mana? Tuduhan serius ini!,” tulisnya, lapor Sinar Harian pada 11 November 2015.


Tidak pasti yang mana betul antara Mat Sabu dan Nasrudin.

Apa jua pun kita tidak berasa hairan dengan gelaja pengkafiran ini kerana memang pin wujud dalam Pas dan yang terlibat dalam menghukum lawan politik mereka dulu-dulu adalah pemimpin mereka yang bergelar ulama dan tuan guru belaka. Ada di antara mereka telah meninggal dunia dan ada yang masih hidup dan menjadi pemimpin tertinggi Pas sekarang, tetapi kini mereka berubah, berpaling tadah,  berbaik dan bekerjasama dengan lawan lama mereka yang sudah menjadi kawan, iaitu UMNO.
Mungkin sisa dan bisa gelaja pengkafiran ini masih menebal dalam diri sesetengah ahli walaupun para pemimpin mereka telah berubah, berpaling tadah, berbaik dan bekerja sama dengan lawan lama mereka. Lalu peluru pengkafiran dituju pula kepada lawan baru yang merupakan serpihannya, iaitu Amanah. Amanah yang dianggap sangat pesaing paling berbahaya kepada masa depan Pas. UMNO tak mampu menumbangkan Pas terutama di Kelatan, tetapi Amanah inilah yang dianggap mampu melakukan angkara itu. Dengan itu dipercayai Pas akan kalah di Kelantan pada pilihan raya datang kerana undi pecah kepada Amanah, tetapi yang akan menang, mungkin bukan Amanah, sebaliknya UMNO.
Di negeri-negeri lain pun Pas tidak mungkin mendapat undi besar kerana pengundi Pas akan memangkah Amanah terutama golongan muda.

Antara kafir amalan dan kafir kepercayaan

Di sini penulis ingin menjelaskan sedikit tentang maksud kafir, bolehkah orang yang berbeza pandangan dan berlainan puak dan parti politik dengan puak dan parti  yang berlabel Islam dianggap kafir?
Sebenarnya perkataan kafir dalam al-Quran ada bermacam-macam maksud. Ada bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama Islam dan ada yang bermaksud sebaliknya.
Sebagai contoh, antara ayat-ayat yang menyebut perkataan kafir dan maksudnya benar-benar kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama ialah seperti yang disebut dalam ayat 106 surah an-Nahl.
منْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ  
عَذَابٌ عَظِيمٌ (١٠٦)

106. Barang siapa kafir kepada Allah setelah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa) tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan mereka akan mendapat azab yang besar.


Ada juga ayat-ayat lain yang menyebut perkataan yang sama, tetapi tidak bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama, sebaliknya bermaksud menghapuskan dosa seperti yang disebut dalam ayat 8 daripada surah at-Tahrim.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٨)

8. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan (yakffir) kesalahan-kesalahanmu, dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman yang bersama dengannya; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami; sungguh, Engkau Mahakuasa atas segala sesuatu."


Ayat-ayat seperti ini tidak mempunyai sedikit pun maksud negatif kerana semua orang Islam dituntut mengkafirkan dosa-dosa mereka, iaitu menghapuskannya dengan melakukan ibadat dan amal kebajikan.
Ada juga perkataan kafir dalam al-Quran yang membawa maksud membantah antara satu sama lain pada hari akhirat seperti yang disebut dalam ayat 25 daripada surah al-'Ankabut.

وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (٢٥)


25. Dan dia (Ibrahim) berkata, "Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah, hanya untuk menciptakan perasaan senang di antara kamu dalam kehidupan di dunia (saja), kemudian pada hari kiamat sebagian kamu akan saling mengingkari dan saling mengutuk, dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sama sekali tidak ada penolong bagimu.”

Malah ada juga perkataan kafir itu dimaksudkan ingkar nikmat seperti disebut dalam ayat 40 daripada surah an-Naml dan lain-lain.


(40). قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚفَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖوَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖوَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: "Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip". Maka tatkala Sulaiman melihat singgasana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni`mat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia".

Jadi perkataan kafir mempunyai maksud yang umum dan luas. Untuk menggunakan perkataan kafir secara lebih tepat tidak ada cara lain kecuali perlu mengetahui maksudnya dan dalam konteks mana ia digunakan al-Quran.

Bagaimanapun, ulama juga berpendapat bahawa terdapat dua kategori bagi perkataan kafir yang bermaksud kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama.

Pertama, kafir amalan (al-kufr al-'amali/الكفر العملي) dan kedua, kafir pegangan atau kepercayaan atau iktikad (al-kufr al-i'tiqadi/الكفر الاعتقادي).
Begitulah pendapat Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qaiyyim.
Kedua-dua ulama itu menuntut orang Islam supaya membezakan antara kafir amalan dan kafir pegangan kerana bimbang jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan mereka melakukan kesalahan dan dosa besar hingga menyebabkan terkeluar daripada jemaah orang Islam seperti yang terjadi kepada puak al-Khawarij.
Kafir amalan ialah seperti melakukan perkara-perkara yang dianggap dosa besar, sama ada yang disebut hukum sebagai kafir atau tidak dalam al-Quran seperti membunuh orang Islam, meninggalkan sembahyang fardu, berzina, minum dan lain-lain.
Sebagai contoh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis menyebut: Memaki orang Islam itu dianggap fasik dan membunuhnya dianggap kafir.

Hukum kafir dalam hadis ini tidak bermaksud kafir kepada Allah atau keluar daripada agama, tetapi bermaksud tidak mentaati larangan Allah yang menegah pembunuhan. Ia dipanggil kafir amalan kerana pembunuh yang merupakan orang Islam telah melakukan perbuatan yang dianggap dosa besar, iaitu membunuh orang Islam lain.

Bagaimanapun, terdapat kafir amalan yang boleh menyebabkan kafir kepada Allah atau terkeluar daripada agama seperti memaki Allah dan Rasul-Nya.

Ada pun kafir pegangan pula ialah seperti percaya bahawa agama Islam itu agama palsu, al-Quran bukan wahyu Allah, Nabi Muhammad s.a.w penipu, hukum Allah tidak layak dilaksanakan pada zaman ini dan lain-lain.

Kafir pegangan inilah yang dianggap benar-benar kafir kepada Allah atau terkeluar daripada Islam.
Bagaimanapun, kerana kafir pegangan berkaitan dengan kepercayaan dan keimanan yang berada dalam diri seseorang, maka tiada seorang pun dapat mengetahui siapakah yang dianggap menjadi kafir pegangan kecuali orang itu sendiri mengaku.

Apa yang dapat dirumuskan dengan segalah dalil dan hujah di atas bahawa  Amanah seperti juga UMNO yang pernah dihukum pada masa lalu bukannya kafir.

Wallahu’alam.







Ulasan