Sunday, February 13, 2011
GULING MUBARAK: GOLONGAN MUDA AJAR PEMBANGKANG
Posted by
Astora Jabat
at
5:42 PM
Kejatuhan Presiden Mohammed Hosni Mubarak pada Jumaat 11 Februari lebih cepat daripada kejatuhan Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali pada 14 Juaari lalu. Mubarak hanya mampu berhadapan dengan kebangkitan rakyat di Kaherah dan beberapa bandar besar Mesir selama 18 hari saja, manakala Ben Ali mampu berhadapan dengan kebangkitan rakyat seluruh Tunisia lebih tiga minggu.
Mungkin Presiden Mubarak terpaksa menyerah kalah dengan segera bertindak meletak jawatan dan menyerah kuasa pemerintahan kepada Majlis Tertinggi Tentera kerana turut berhadapan dengan tekanan luar dari Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.
Naib Presiden Omar Suleiman dalam satu kenyataan di televisyen Mesir pada 11 Februari yang turut disiarkan serentak melalui Al-Jazeera dan Al-Arabiya menyatakan bahawa Mubarak memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden Republik Mesir dan meninggalkan kuasa kepada Majlis Tertinggi Tentera untuk menguruskan urusan negara.
Kebangkitan rakyat Mesir berjaya memaksa Mubarak meletak jawatan berlaku selepas kebangkitan rakyat Tunisia berjaya memaksa Presiden Ben Ali meninggalkan kuasa pada 14 Januari lalu. Kebangkitan rakyat Tunisia dan kebangkitan rakyat Mesir kini sama-sama menggoncangkan negera-negara Arab. Selepas ini mungkin masyarakat dunia dapat menyaksi negara-negara Arab lain pula akan kehilangan pemimpinnya. Setekat ini Syria, Jordan, Yaman, Algeria, Maghribi dan Sudan bergelora. Negara-negara Teluk yang kaya walaupun dalam keadaan berwaspada, tetapi belum ada sebarang riak-remiak kocakan masyarakat.
Agak boleh menjadi renungan kita bersama bahawa ketika kebanyakan kerajaan Arab sedang membuat perubahan sekadar yang mampu kerana bimbang kebangkitan rakyat melanda mereka, pelbagai puak pembangkang konvensional dalam kelompok nasionalis, sosialis, komunis, liberalis dan Islamis di Mesir pula menyinsingkan lengan baju dan memasangkan nafsu amarah masing-masing bagi berusaha menacari jalan untuk memetik buah dan hasil kebangkitan rakyat Mesir sesuai dengan dasar dan ideologi yang dimantra dan dijampi mereka sejak sekian lama.
Secara lantang dan secara senyap-senyap pelbagai puak pembangkang konvensional merancang untuk melaksanakan agenda mereka. Ada yang berideologi Islam mahu menubuh negara Islam, ada yang berideologi nasionalisme mahu menubuh negara kebangsaan, ada yang berideologi sosialisisme /komnisme mengimpikan nostalgia negara sosialis/komunis yang berteraskan keadilan sosial, ada yang beriledologi liberalisme mahu kembali kepada zaman Raja Fuad dan sebelumnya, ada yang berideologi Nasserisme mahu kembali kepada zaman Presiden Gamal Abdel Nasser dan ada macam-macam lagi.
Bagaimanapun, yang jelas kebangkitan rakyat di Mesir sama dengan Tunisia, ia bukan diletus oleh mana-mana parti pembangkang konvensional. Sebaliknya ia diletus golongan muda yang melaksanakan kehendak rakyat yang selama ini tidak berjaya dilaksanakan oleh mana-mana parti pembangkang konvensional berkenaan.
Dalam konteks Mesir ketika Presiden Mubarak berhadapan dengan kebangkitan rakyat ini, penduduk Mesir 80 juta berbanding 38 juta ketika beliau menggantikan Presden Anwar Sadat 30 tahun lalu dan 20 juta ketika pemerintahan Presiden Gama Abdel Nasser.
Di kalangan 80 juta ini pula terdapat 60 atau 70 peratus orang muda yang berusia bawah 30 tahun. Penduduk tua yang berusia 65 tahun ke atas tidak lebih daripada tiga peratus sahaja. Sembilan per sepuluh daripada orang muda ini menganggur.
Jadi inilah antara punca yang melutuslam tunjuk perasaan rakyat Mesir yang kini ditonjol sebagai kebangkitan dan revolusi itu.
Dari sudut lain terjadi semacam konfrontasi antara dua golongan yang berbeza dari jumlah dan usia di Mesir, iaitu golongan muda dan golongan tua. Golongan muda mahu perubahan dan mereka bersenjatakan pelbagai ilmu dan teknologi maklumat yang terkini dan canggih. Manakala golongan tua termasuk yang berusia 65 tahun ke atas yang menjadi pemerintah dan pembangkang dalam kerajaan mahu menjaga status quo dan mereka kurang mesra dengan segala ilmu dan teknologi maklumat berkenaan.
Dengan itu mereka bukan saja tidak dapat meramal apa yang boleh dilakukan orang muda, tetapi mereka juga tidak mengetahui bagaimana dapat berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang diletus golongan muda ini, sama ada untuk mengatasinya bagi golongan tua di kalangan pihak berkuasa mahupun menyokong atau menolaknya bagi golongan tua di kalangan pembangkang.
Sebenarnya pada masa lalu pihak berkuasa amat mudah untuk berhadapan dengan pembangkang konvensional dengan menggunakan pendekatan lama. Kerana pihak berkuasa mengetahui nama, alamat rumah dan pejabat mereka. Pihak berkuasa juga mengetahui di mana pengikut mereka, apa akhbar, majalah dan buku yang diterbitkan mereka pun boleh dipantau dan dirampas.
Kesimpulannya mudah sekali untuk menguruskan hubungan dengan pembangkang konvensional secara positif dan negatif, dicegah dan dibenarkan, dipenjara dan dibebaskan, dibenarkan beberapa daripada mereka bertanding dalam pilihan raya pun boleh seperti dalam kes Al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan), yang walaupun ia dari segi undang-undang merupakan bertubuhan haram, tetapi calon-calon mereka dibenarkan bertanding atas tiket parti lain atau bebas.
Sedangkan golongan muda yang menjadi majoriti penduduk Mesir kini tidak bisa ditangani begitu kerana selama ini mereka diketahui pihak berkuasa tidak berpolitik dan mabuk bola sepak.
Denganitu apabila satu demi satu orang Mesir cuba membunuh diri meniru Mohamed Bou Azizi membunuh diri di Tunisia pada 17 Disember lalu di mana ada orang Mesir yang cuba membunuh diri yang mati dan ada yang sempat diselamatkan diri, pembangkang Mesir masih kejat dan kaku dalam serba kebingunan. Sudah tentu tidak mungkin mereka menunggu lebih ramai penduduk membunuh diri. Tetapi mungkin kerana mereka golongan tua yang telah terbiasa dengan sanjungan pengikut tidak sedar bahawa anak-anak muda yang melayari Internet bukan saja untuk mnghabiskan masa lapang dan berseronok termasuk yang dilakukan mereka di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter, tetapi di situ juga mereka berkomunikasi dan berbincang yang memungkinkan mereka membentuk kuasa di luar tembok parti untuk memuat perubahan dalam negara.
Perlu diterangkan bahawa jumlah orang yang cuba membunuh diri kerana terpengaruh dengan Bou Azizi adalah tujuh orang di Mesir dan lebih 20 orang di seleruh negara Arab.
Bagaimanapun, menurut Pusat Maklumat Kabinet Mesir, seramai 104, 000 orang Mesir membunuh diri setiap tahun kerana menghadapi pelbagai masalah hihup.
Memang orang Mesir hidup susah. Sebanyak 45 peratus penduduknya berada di bawah garis kemiskinan. Secara peribadi saya yang bertugas sebagai wakil Utusan selama lapan tahun di Kaherah dapat merasa kemelaratan orang Mesir. Jurang antara orang kaya dan orang miskim sangat jauh. Yang kaya memang tinggi melangit dan yang miskin pula berada di bantat bumi. Golongan pertengahan hampir tiada kerana sangat kecil sekali.
Orang Mesir bukan tidak pintar. Mereka ramai cerdik panndai. Mereka juga menjadi guru semua negara Arab dalam beberapa dasawarsa lalu. Cerdik pandai mereka paling ramai mendapat anugerah dunia berbanding negara-negara membangun lain termasuk empat orang daripada mereka mendapat anugerah Nobel. Budaya popular mereka melalui lagu, filem dan drama serta dialeg Mesir diterima di seluruh negara Arab.
Bagaimanapun, kerana diperintah secara kuku besi selama 59 tahun selepas jatuh kerajaan liberal yang rosak pada zaman Raja Farouq terus menerus hidup dalam cengkaman kezaliman dan penindasan pada zaman Mohamed Naguib, Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan kini Presiden Mubarak.
Mungkin kebangkitan rakyat Mesir boleh menghentikan fenomena membunuh diri ini. Kerana jika kebangkitan rakyat Tunisia yang berpunca daripada Bou Azizi mencetuskan idea bunuh diri itu, kebangkitan rakyat Mesir pula mungkin boleh mencetuskan harapan untuk berubah di Mesir dan di seluruh 23 negara Arab yang sentiasa diperintah secara kuku besi, sama ada oleh tentera dan mahupun raja kecuali Lebanon dan Iraq, bahawa sudah ada impian untuk melihat cahaya dihujung terowong.
Tidak ragu lagi banyak pengajaran yang bisa diambil daripada kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang kini turut menular ke negara-negara Arab lain dalam pelbagai betuk perubahan, sama ada dilakukan oleh rakyat mahupun pemerintah sendiri. Satu pengajaran khusus yang boleh kita renung bersama berkaitan dengan kedudukanparti-parti politik pada golongan muda, cuba kita fikir apakah parti-parti politik yang menjadi kerajaan dan pembangkang masih relevan dengan golongan muda? Jika jawapannya revelan, kenapa ramai orang muda kini benci politik kepartian? Jika jawapannya tidak relevan, apa pula perubahan yang perlu dilakukan oleh parti-parti politik kerajaan dan pembangkang memandangkan amat berbahaya membiarkan orang muda menjauhi mereka kerana parti perlu dalam negara.
Berdasarkan penelitian rambang saya, ramai anak muda di Malaysia dan Thailand bukan saja lebih suka menjauhi parti-parti politik kerajaan dan pembangkang, tetapi mereka juga lebihsuka menjauhi politik secara umumnya. Mereka lebih memberi tumpuan kepada kerja, ada yang mengisi ruang hidup dengan amalan spiritual (menyertai Tabligh dan macam-macam kumpulan agama termasuk yang misteri dan sesat), berkhidmat dengan pelbagai badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
Dalam pada itu di Thailand termasuk di kampung halaman saya di tiga wilayah majoriti Melayu terdapat ramai penduduk yang menyatakan sangat muak dan benci dengan segala macam bentuk tunjukan perasaan yang selalu diadakan di Bangkok. Kerana di Thailand ini sebelum ada puak Baju Kuning dan Baju Merah yang banyak membuat angkara kepada ekonomi di sini pun sudah ada bermacam-macam puak tunjuk perasaan yang seolah-olah kerja mereka adalah mengadakan tunjukan perasaan bagi menjatuhkan kerajaan. Jika tunjuk perasaan tidak mampu menjatuhkan kerajaan, ada pula general bermentaliti tahun 60-an dan 50-an mengadakan rampasan kuasa.
Ia berbeza sama sekali dengan tunjuk perasaan di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab yang dialu-alukan dan dipandang sebagai kebangkitan dan revolusi rakyat menentang kezaliman pemerintah kuku besi.
Pada waktu yang sama apa yang berlalu di Tunisia dan Mesir juga membukti pembangkang konvensional sudah ketinggalan kereta api dan tidak berfungsi seperti dulu.
Golongan muda dapat membuktikan mereka lebih mampu menggerakkan rakyat. Manakala pembangkang konvensional tidak berjaya untuk mengumpulkan orang sendiri pun dalam mana-mana tunjuk perasaan pada masa lalu dan pada ada waktu sekarang.
Salah satu buktinya ialah pembangkang Mesir seperti al-Ikhwan yang merupakan pembangkang terkuat di Mesir itu, Parti Wafd (liberal) dan Parti Tagamo (kiri/sosialis) yang panik dan teragak-agak. Al-Ikhwan sebagai contoh baru turun padang pada 28 Januari seletelah melihat kejayaan golongan muda muda berkumpul di Dataran Tahrir pada 25 Januari lalu.
Sedangkan Parti Wafd, Parti Tagamo dan parti-parti pembangkang lain terus terus tertidur kerana tidak ikut serta langsung dalam perhimpun. Malah ada pula kepimpinan pembangkang yang memberitahu bahawa mereka berkecuali. Pembangkang konvensional Mesir sudah kehilangan kredibilti.
Dengan itu tidak hairanlah jika dalam masa lebih dua minggu berkumpul di Dataran Tahrir, golongan muda di Mesir pula tidak sama sekali menjulang kan slogan agama dan politik dengan warna kepartian tertentu seperti dilakukan oleh kebanyakan parti pembangkang dalam bantahan dan tunjuk persaan mereka pada masa lalu.
Dalam pada itu dapat dilihat juga bahawa ada pula parti-parti pembangkang tertentu, beberapa ahli politik dan tokoh masyarakat cuba mengambil peluang daripada kebangkitan rakyat kini dan walaupun dulunya mereka silap dalam membaca kemampuan perubahan yang bakal berlaku di Mesir yang digerak golongan muda.
Mereka adalah al-Ikhwan, Parti Wafd, Parti Tagamo dan Parti Arab Nasser (pro Gamal Abdel Nasser) serta beberapa ahli politik dan tokok masyarakat seperti usahawan dan jutawan Naguib Sawiris, bekas Menteri Penerangan Mansour Hassan, mantan ketua Badan Tenaga Atom Antarabangsa PBB (IAEA) Mohamed El-Baradei (pemenang anugerah Nobel Kedamaian) dan lain-lain.
Mereka tampil untuk memetik buah dan hasil kebangkitan rakyat dengan menerima untuk berdialog dengan Timbalan Presiden Omar Suleiman yang baru dilantik Presiden Mubarak. Bagaimanapun, dialog perangkap dan komplot itu gagal. Parti Arab Nasser patah balik dan mengambil pendirian mengundur diri daripada dialog itu pada hari berkenaan juga kerana ia mahu Mubarak meletak jawatan terlebih dahulu. Pada Khamis (10 Februari), Parti Tagamo pula menarik diri kerana bantah terhadap beberapa perkara termasuk kenyataan Perdana Menteri Suleiman menyuruh pilih antara dialog dan rampasan kuasa. Parti Tagamo menganggap kenyataan itu sebagai tidak bertangungjawab.
Bukan suatu yang ganjil bagi para pemerhati politik di Mesir jika ketika tunjuk perasaaan sedang memuncak itu, ada parti-parti pembangkang konvensional itu bersama bersama gerombolan parasit politik berusaha untuk menguasai prestasi golongan muda, kerana mereka percaya Amerika Syarikat (AS) yang menjadi patron Mubarak tidak lagi mahu kepada beliau.
Presiden Barak Obama berkali-kali menegaskan tentang perlu transformasi kuasa segeara di Mesir.
Justeru parti-parti pembangkang konvensional bersama gerombolan parasit politik yang sentiada mencari peluang dalam semua keadaan terus bergegas ke Kedutaan AS di Kaherah untuk menawarkan diri kepada AS bahawa mereka adalah pewaris pemerintahan Presiden Mubarak kelak.
Penyelaras El-Baradei dalam wawancara dengan akhbar Sharq alAwsat pada 10 Februari berkata 80 peratus orang muda yang berkumpul di Dataran Tahrir adalah non-politik. Manakala jumlah orang al-Ikhwan dalam perhimpunan berkenaan tidak lebih daripada 15 peratus dan mereka juga orang muda. Dia mendakwa Timbalan Presiden Suleiman mengetahui hakikat ini.
Menurutnya, tidak ada parti politik yang menguasai perhimpunan di Dataran Tahrir dan penamaan slogan-slogan tertentu juga dilakukan oleh mereka dan bukan dilakukan oleh mana-mana parti politik.
Abdul-Rahman Youssef menciptakan slogan Jumaat Berpisah (Jumaat peratama) dan pemuda al-Ikhwan mencipta slogan Jumaat Pertahanan (Jumaat kedua). Sedangkan Jumaat Penentuan (Jumaat ketiga) yang kemudian ditukar menjadi Jumaat Cabaran pula adalah diciptakan beramai-ramai oleh mereka.
Semua orang muda yang terlibat dalam perhimpunan di seluruh Mesir muncul di bawang payung besar, 'Semua Kita Khalid Said' (nama pemuda yang dibunuh oleh polis di Iskandariah), Kempen al-Baradei, Pemuda al-Ikhwan dan Pakatan Pemuda Intifada.
Mereka bermula dengan kempen Internet melalui Facebook dan Twitter dan kemudian melalui penyebaran risalah kepada orang ramai di merata masjid dan tempat awam.
Selamat tinggal Mubarak dan jutaan tahiah kepada golongan muda Mesir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment