Wednesday, June 23, 2010

KESIAN ASRI

Saya menyokong Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai UMNO tanpa mengambil kira aliran pemikiran agama dan pandangan kontroversi beliau kerana saya percaya beliau akan berubah bila berada di atas flatform politik parti yang memimpin kerajaan itu.

Bagi orang yang kenal Asri di kalangan rakan-rakan dan kenalan-kenalannya, sama ada yang menyokong mahupun dan yang menentang beliau mengetahui bahawa beliau sudah banyak kali berubah flatform sebelum berada di flatform Salafi kini.

Dalam UMNO dan kerajaan sekarang pun ada orang berpendidikan agama tinggi yang ada jawatan dalam kerajaan pernah dilihat sebagai orang pembangkang atau Pas ketika zaman reformasi dulu. Dalam mesyuarat mingguan ulama yang saya turut hadir setiap minggu selalu dibangkitkan tentang orang ini. Begitu juga ramai pegawai agama dalam kerajaan
yang menjadi orang pembangkang atau pronya pada masa lalu. Ramai di kalangan mereka walaupun mungkin ada yang tidak mengubah pemikiran dan pendirian asal mereka, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak menentang UMNO dan kerajaan seperti dulu. Di kalangangan ahli politik sudah tentu sangat ramai sekali orang seperti ini dan mereka berada dalam kerajaan.

Bagaimanapun, jika Asri tidak mahu atau disekat menyertai UMNO, beliau jangan sama sekali menyertai Pas atau PKR.

Beliau lebih baik menjadi orang bebas politik walaupun akan berhadapan dengan banyak ancaman besar termasuk ditahan bawah ISA kerana dituduh ada kaitan dengan Jemaah Islam (JI) seperti dijelas dalam mesyuarat anti-keganasan di Bukit Aman malam Isnin lalu.

Ini kerana jika Asri ditahan dibawah ISA, sedangkan beliau benar-benar bersih dan tidak terlibat dengan JI, beliau bukan lagi penulis kontroversi, tetapi akan menjadi ulama hero yang tidak perlu lagi kepada apa-apa jawatan politik untuk meneruskan perjuangan.

Walaupun begitu jika ada jalan keluar yang lebih baik, Asri perlulah mengelak ISA kerana menjadi hero melalui ISA bukanlah hero tulen walaupun dapat mempengaruhi masyarakat. Hero tulen bagi seorang ilmuan seperti adalah hero dalam ilmu dan intelektualisme.

Saya walaupun mempunyai banyak pandangan negatif tentang Asri kerana pemikiran beliau berkotak Salafi dogmatisme, menghukum orang berdasarkan sunnah dan bid'ah yang tidak ada al-Quran, tidak membeza antara ibadat dan adat, terbuka satu hala (terbuka terhadap mengkritik orang tetapi tidak terbuka terhadap orang mengkritik beliau) dan
sebagainya, tetapi saya menghormati beliau dan tidak menafi hak beliau dalam memberi pandangan yang berbeza.

Kesian juga kepada Asri kerana selain ditentang kebanyakan ulama dan mufti, diperangi Jakim dan Jais, ditahan polis kerana menyampai ceramah tanpa tauliah, dihadapkan ke mahkamah, disaman RM1.5 juta oleh Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad atas alasan membiftnah beliau terlibat dalam rasuah
dan penyelewengan semasa menerajui yayasan itu dan mungkin diambil tindakan undang-undang oleh Jais kerana didakwa menyebar berita paslu mengenai seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air ludahnya untuk mendapatkan keberkatan, kini beliau pula didakwa oleh pegawai Jakim terlibat dengan JI.

Hari ini Malaysiakini melaporkan usaha Asri untuk menyertai politik bersama dengan ulama-ulama lain adalah dengan tujuan untuk mendapat perlindungan politik. Di bawah tajuk "Ulama sertai Umno demi perlindungan politik?", akhbar dalam talian itu melaporkan, ketika Dr Mohd Asri Zainul Abidin masih berteka-teki berhubung ura-ura penyertaannya dalam parti politik, ada pihak pula melihat tindakan bekas mufti Perlis itu untuk menyertai Umno adalah perlu bagi mendapatkan 'perlindungan' politik.


Difahamkan, lapor Malaysiakini selepas penahanan 12 warga asing yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi – aliran yang sentiasa dikaitkan dengan Dr Asri - di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) di Gombak Januari lalu, pilihan untuk menyertai Umno mulai dibincangkan di kalangan pengikut-pengikutnya.

Malahan, menurut sumber-sumber, serangan berterusan daripada ulama yang anti-Wahabi daripada beberapa agensi agama kerajaan menyebabkan kumpulan tersebut terdesak mengambil tindakan drastik itu.

Seterusnya lapor Malaysiakini, isu ini disemarakan lagi dengan pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada minggu lalu bahawa seramai 10 warga asing ditahan dan dihantar pulang ke negara masing-masing sejak awal tahun ini kerana disyaki menjalankan operasi Jemaah Islamiah (JI) -- yang dikaitkan dengan terorisme.


Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan di Bukit Aman malam Isnin lalu yang melibatkan pegawai tertingginya diberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi, JI dan beberapa lagi pemimpin politik negara.

Difahamkan juga Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin didakwa memberikan penjelasan itu kepada pegawai yang hadir.

Menurut sumber, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya mufti Perlis Dr Juanda Jaya, mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan).

Bagaimanapun, difahamkan pembentangan Zamihan itu turut mengundang rasa gelisah di kalangan pegawai yang hadir.

"Kami tidak mahu perkara ini bertukar kepada usaha pemburuan (pihak tertentu)," kata sumber yang hadir dalam program penerangan tersebut.

Difahamkan pada majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu, polis cuba menjelaskan ancaman JI terhadap Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Malaysian Insider pula melaporkan hari ini bahawa kira-kira 50 orang yang dikategorikan sebagai golongan ulama, dengan kebanyakannya kakitangan akademik, dipercayai akan mengikut langkah bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin jika masuk Umno minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan mereka turut terlibat dalam perbincangan bersama Asri yang disebut-sebut akan menyertai parti utama Barisan Nasional itu, Jumaat ini.

“Ya, saya bersama sekitar 50 orang ulama sedang adakan perbincangan (dengan Umno)... kebanyakan mereka ini merupakan ahli-ahli akademik, sudah memutuskan untuk menyertai Umno, tapi perbincangan masih dijalankan,” kata seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Perbincangan itu termasuklah peranan yang bakal mereka hendak bawa jika menyertai Umno, kata beliau.

Pensyarah itu yang enggan namanya disiarkan atas alasan perbincangan dengan kepimpinan Umno masih dijalankan berkata, kira-kira 70 hingga 80 peratus itu merupakan ahli akademik.

“Sebahagian besar adalah ahli akademik, kebanyakannya bertugas di Lembah Klang, yang lain dari luar Lembah Klang,” kata beliau lagi.

The Malaysian Insider difahamkan ada kemungkinan sesetengah mereka tidak akan menjadi ahli tetapi akan membantu Umno sebagai golongan ulama.

“Jadi peranan mereka mungkin dari dalam dan dari luar Umno,” kata beliau sambil mengaku mahu membantu Umno.

Mereka dilihat sebagai golongan ulama muda yang memperlihatkan pandangan progresif mengenai hukum syariah dan undang-undang Islam.

“Kami memutuskan untuk menyertai Umno dan membantu mereka dalam pembangunan Islam di negara ini... kami berpendapat kami boleh membantu Umno mengikut kapasiti kami,” kata sumber itu ketika ditanya alasan bagi mereka mahu menyertai parti politik Umno.

Asri dijangka akan mengetuai urusan penyertaan dalam Umno Jumaat ini apabila ia mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, lapor Malaysian Insider.

Semalam akhbar dalam talian yang melaporkan Asri memberitahu seorang wakil PKR bahawa beliau tidak akan menyertai UMNO.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa dia telah bercakap dengan Asri pada pukul 10 pagi dan beliau memberitahu bahawa beliau tidak akan menyertai UMNO.

Asri dan Juanda telah mengeluarkan kenyataan bersama petang ini menafikan mereka berlibat dengan JI. Melihat kepada tajuk kenyataan mereka yang bertajuk: Kenapa Kerana BN Berbohong? mungkin dapat diramal bahawa Asri tidak akan menyertai UMNO. Wallahu'alam.

Manakala kawan saya, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu saman pegawai Jakim itu atas tuduhan yang sama.

0 comments: