Friday, June 25, 2010

Asri Tangguh Masuk UMNO



Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak menyerah borang penyertaan UMNO kepada Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama 40 orang ulama muda malam ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Asri akan menyertai parti itu "bila sampai masanya", lapor Malaysiakini tadi.

"(Kemasukan dalam Umno) ini berperingkat-peringkat. Dalam Umno ini ada ahli UMNO, dan ada penyokong UMNO... Melihat dari aspek tersebut, saya rasa (Asri) tak ada masalah. Ini peringkat pertama.

"Beliau (Asri) akan masuk dalam kumpulan yang kedua," kata Shahidan.

Malaysian Insider pula melaporkan bahawsa sekumpulan 40 ulama yang berusia antara 20-an dan 40-an menyertai UMNO malam ini tanpa penyertaan Asri.

Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, menurut akhbar online itu mereka merupakan kumpulan pertama dan akan disusuli dengan sekumpulan kedua dalam waktu terdekat.

“Sebenarnya ada dua golongan yang menyokong UMNO. Satu sebagai ahli secara langsung dan lagi bukan ahli tetapi menyokong UMNO.

“Dr Asri termasuk dalam kedua-dua kumpulan ini. Tetapi pada masa sekarang Dr Asri dalam kumpulan kedua iaitu menyokong dari luar dan satu hari nanti akan menjadi ahli UMNO,” katanya.


Kumpulan 40 orang ulama mudah ini diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang sealiran dengan Asri.

Fadlan berkata idea untuk menyertai Umno dibincangkan secara mendalam sejak beberapa bulan yang lalu untuk mencari ruang berdakwah menerusi parti politik.

“Kami berharap langkah memasuki UMNO ini akan menyemarakkan lagi usaha berdakwah menerusi UMNO, kami masuk UMNO bukan untuk berpolitik walaupun UMNO adalah sebuah parti politik,” kata beliau.

Ketika ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata tiada sebab khusus tetapi dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah ada ramai ulama.

Kata beliau, pihaknya merasakan penyertaaan dalam UMNO akan menyediakan ruang yang lebih besar untuk tujuan berdakwah.

Rakannya Fathul Bari Mat Jahya berkata UMNO memberi ruang yang dicari-cari untuk tujuan berdakwah selepas mereka berhadapan dengan pelbagai sekatan.

Beliau yang merupakan penasihat agama sebuah agensi perubatan di ibu negara tidak menjelaskan sekatan yang dimaksudkan tetapi difahamkan ia berkaitan dengan syarat tauliah yang diwajibkan oleh jabatan-jabatan agama.

Rakan mereka, Asri kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Shahidan pula menjawab mulai sekarang mereka tidak akan berhadapan dengan masalah memandangkan UMNO mempunyai 3.2 juta ahli, jumlah yang cukup besar untuk mereka menyampaikan dakwah.

“Yang saya bimbang, mereka nanti tak cukup masa untuk balik rumah, nanti hanya balik rumah dua kali sebulan,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada Umno akan menyediakan golongan ulama sebagai bakal calon pilihan raya umum ke-13, Shahidan berkata, “saya tidak tahu tentang perkara itu.”

“Tetapi saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Arau merasakan kepimpinan masa depan bahagian, saya merasakan perlu terdiri daripada golongan ilmuan macam ini,” kata beliau.

Ini kali pertama UMNO menerima golongan ulama dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa, lapor Malaysian Insider.

Mereka yang terdiri daripada pensyarah, bekerja sendiri dan pekerja swasta menjadi ahli Cawangan Dataran Merdeka dan akan beralih ke negeri masing-masing kemudian.

0 comments: